‘Teguh Bersama’ – 33 Tahun UMNO Sabah, Terus Melangkah


HARI ini 21 Februari 2024, genaplah 33 tahun UMNO bertapak di Sabah. Sepanjang tempoh tersebut, UMNO Sabah telah melalui pelbagai cabaran dan dugaan, suka dan duka yang telah mematangkan makna sebuah perjuangan selaku parti politik di Sabah untuk terus melangkah ke hadapan, berjuang membela bangsa agama dan negara.

Memilih slogan ‘Teguh Bersama’, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam perutusannya sempena sambutan 33 tahun UMNO bertapak di Sabah berkata, dengan adanya kebersamaan serta semangat kerja berpasukan di kalangan pemimpin dan ahli UMNO di Sabah yang dianggarkan melebihi 700 ribu orang, merupakan tunjang utama kenapa UMNO Sabah sehingga kini masih teguh dan relevan.

Katanya, meskipun diuji dengan pelbagai cabaran dan dugaan tidak kurang cemuhan dari mereka yang berhasrat menenggelamkan pengaruh UMNO di Sabah, namun parti tersebut tetap bertahan.

“Sejarah perjuangan UMNO di Sabah amat panjang, banyak ranjau dan onak dilalui dari mula ia bertapak sehingga kini. UMNO pernah menjadi tunjang kerajaan negeri selama 28 tahun di mana semasa pemerintahannya telah membawa banyak kebaikan kepada negeri dan rakyat, berjaya menstabilan politik dan turut mendekatkan hubungan di antara rakyat negeri ini dan Semenanjung.

“UMNO juga telah memberikan khidmat terbaik kepada rakyat di negeri ini dengan tumpuan terhadap aspek pembangunan dan pembaharuan ke arah kemajuan,” katanya dalam perutusannya yang dikeluarkan sempena Sambutan Ulang Tahun ke-33 UMNO bertapak di Sabah.

Namun menurut Bung, UMNO Sabah juga melalui detik duka kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang memberikan kesan kepada kedudukan UMNO di Sabah.

Lebih memberikan cabaran kepada UMNO Sabah katanya ialah langkah 22 orang terdiri dari Ketua Bahagian dan pemimpin UMNO di negeri ini keluar parti yang kemudiannya mengisytiharkan menyertai parti lawan iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Menurut Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, selepas tindakan beberapa pemimpin UMNO Sabah ini, pelbagai suara sumbang mula kedengaran antaranya UMNO Sabah akan dibubarkan malah istilah yang lebih kejam UMNO bakal ditalkinkan.

Bagi menangani krisis ini, Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akhirnya memberikan kepercayaan kepada Bung menerajui UMNO Sabah apabila dilantik menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah menggantikan Datuk Seri Hajiji Mohd Noor yang keluar parti.

Memikul tugas dan tanggungjawab tersebut, bagi Bung bukanlah sesuatu yang mudah, namun beliau bersyukur kerana masih ada rakan-rakan seperjuangan dalam UMNO Sabah yang masih setia dan memiliki prinsip kukuh bagi membantu beliau menyusun semula kedudukan UMNO Sabah yang bukan sahaja di peringkat negeri, bahagian malah di peringkat cawangan.

“Kemenangan Ketua UMNO Bahagian Kimanis, Datuk Mohamad Alamin yang mewakili UMNO/BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis pada Januari 2020 merupakan petunjuk UMNO/BN di Sabah masih diterima oleh rakyat Sabah dan kejayaan turut memberikan suntikan semangat serta kekuatan kepada kami untuk meneruskan perjuangan,” katanya.

Seperti kata pepatah ‘patah tumbuh hilang berganti’, kemunculan pemimpin-pemimpin muda untuk bersama UMNO yang sebilangannya turut memimpin bahagian-bahagian ketika ini merupakan petanda positif UMNO masih diterima oleh rakyat Sabah.

Di samping itu, penyertaan mereka yang sebahagian adalah dari usaha UMNO untuk meremajakan parti bagi mencari pemimpin pelapis meneruskan perjuangan parti keramat UMNO amat bermakna.

Dalam hal ini, Bung juga mengimbau semasa kerajaan negeri dipimpin oleh parti Warisan sehinggakan keadaan politik di Sabah juga tidak stabil apabila ada percubaan dari bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman yang mendakwa mendapat sokongan 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melalui akuan bersumpah (SD) pada Julai 2020 untuk menggulingkankan Kerajaan Warisan namun gagal.

Ini berlaku apabila Ketua Menteri yang juga Presiden parti Warisan ketika itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah setelah mendapat perkenan dari Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah pada Ogos 2020 bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Pada PRN ke-16 UMNO Sabah memilih untuk menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS), satu bentuk kerjasama antara Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) dengan harapan kestabilan politik di Sabah akan dicapai selepas PRN ke-16.

Akhirnya selepas PRN-16 ini kerajaan negeri dapat dibentuk. UMNO/BN adalah parti terbesar menyumbang kejayaan tersebut yang memperolehi 14 kerusi berbanding 11 kerusi yang diperolehi oleh Perikatan Nasional (PN) yang diketuai oleh Hajiji ketika itu dan yang selebihnya PBS, tujuh kerusi dan Star, enam kerusi bagi membolehkan gabungan itu dapat membentuk kerajaan.

Dari segi jumlah kerusi sudah tentu UMNO lebih berhak menuntut jawatan Ketua Menteri, namun bagi UMNO dan Bung sendiri bukan jawatan yang menjadi keutamaan selain kestabilan politik boleh dicapai untuk membolehkan kerajaan dapat dibentuk meneruskan usaha-usaha membawa pembangunan demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Walaupun UMNO berada di dalam Kerajaan Gabungan GRS ketika itu dan Bung diberikan tempat sebagai orang kedua dalam barisan jemaah kabinet Sabah menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya, namun banyak perkara dan cadangan yang dibawa tidak didengar oleh kerajaan negeri ketika itu, malah agihan jawatan lantikan politik termasuk Syarikat Berkaitan Kerajaan hanya dimonopoli satu pihak.

Selepas PRU ke-15 Kerajaan Perpaduan dibentuk di peringkat Persekutuan dan UMNO merupakan antara tonggak mendukung pembentukan kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terdahulu, tindakan PGRS yang diketuai Hajiji menyokong PN tanpa berundingan bersama gabungan GRS amat mengecewakan UMNO Sabah.

Bagaimanapun situasi politik berubah apabila Hajiji membuat pusingan 360 darjah mengubah pendirian untuk menyokong Pakatan Harapan (PH) dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Ketika ini UMNO Sabah berharap dengan tindakan tersebut, konsep Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat diselaraskan dalam jentera pentadbiran kerajaan negeri namun ibaratnya walaupun tinggal satu rumah tapi bilik asing-asing dan tidur satu bantal mimpi lain-lain.

Keadaan ini mendorong UMNO Sabah di bawah kepimpinan Bung untuk melakukan perbincangan agar konsep Kerajaan Perpaduan di Sabah dapat diselaraskan dengan mengurangkan permainan politik bagi memberikan tumpuan sepenuhnya untuk membangunkan Sabah.

Setelah melalui pelbagai kemelut politik, Bung dan kepimpinan Sabah mengambil kata sepakat meneruskan perjuangan biarpun tidak lagi membarisi kabinet Negeri di Bawah Bayu malah bersama rakan-rakan lain berpaksikan agenda demi agama, bangsa dan negara malah kestabilan jadi keutamaan.

Sehubungan itu, sempena ulang tahun ke-33 UMNO bertapak di Bumi Bawah Bayu ini, Bung yang juga Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan mengajak pemimpin dan ahli UMNO di negeri terbabit agar terus merapatkan hubungan, memperkukuhkan perpaduan dengan meletakkan ‘Tekad Bersama’ untuk membawa UMNO ke hadapan menghadapi cabaran khususnya dalam persediaan parti itu berhadapan PRN akan datang.

Menurut beliau, pemimpin dan ahli UMNO di Sabah tidak perlu lagi memandangkan ke belakang mengingati episod duka yang pernah dilalui, sebaliknya terus istiqamah memandang ke hadapan meneruskan perjuangan membela nasib rakyat yang masih merintih dengan desakan kesejahteraan kehidupan terutamanya dalam penyediaan prasarana lantaran pelbagai penyelesaian masih belum ada.

“Kita bersuara menyampaikan suara rakyat di peringkat akar umbi. Sabah kaya dengan sumber asli yang boleh dimajukan sebagai sumber pendapatan utama sama ada dalam sektor pertanian, pelancongan dan lain-lain ia perlu perancangan dan tindakan konkrit dari kerajaan agar sumber yang ada ini boleh digerakkan untuk memacu ekonomi serta kesejehteraan rakyat. Rakyat ketika ini tidak boleh lagi dimomokkan dengan slogan yang sedap didengar namun gagal dalam pelaksanaanya,” katanya.

Sambil mengucapkan Selamat Menyambut Ulang Tahun ke-33 UMNO bertapak di Sabah, Bung mengajak pemimpin dan ahli parti memberikan keutamaan untuk memperkukuhkan parti di semua peringkat.

Menurut Bung kekuatan perpaduan serta jalinan kerjasama yang kukuh dalam kalangan semua pemimpin perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan konsep kerja berpasukan bagi menentukan UMNO akan terus kekal relevan di Sabah.

“Tekad Bersama adalah akujanji yang telah meletakkan UMNO Sabah masih kekal relevan hingga sekarang, ini perlu kita lestarikan dalam bentuk tindakan, pendekatan mesra dan lebih menyakinkan agar ahli dan rakyat akan terus memberikan sokongan bagi membawa Sabah dan rakyatnya menuju ke hadapan, ke arah yang lebih baik dari masa kini,” katanya.

Oleh: Jaafar Abd Wahid

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit