‘Wan Fayhsal Simpan Sikit Bebal Tu’ – Puad

KUALA LUMPUR, 15 Dis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membidas Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sebagai bebal.

Kritikan Puad itu ekoran kenyataan Wan Ahmad Fayhsal yang mencadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meminda Perlembagaan Persekutuan agar jawatan Perdana Menteri hanya boleh disandang oleh orang Melayu.

Beliau malah membidas Ahli Parlimen Machang itu sebagai menyindir tidak bertempat.

“Inilah bebalnya ahli Parlimen PN. Dia pernah mencadangkan Bank Negara mencetak banyak wang kertas dan diagih kepada rakyat untuk dibelanjakan.

“Kalau begitu kamu sahaja buat pengumuman iaitu Pemuda Bersatu akan meminda perlembagaan jika PN memerintah nanti. Ada berani? Menyindir tidak bertempat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal sebelum ini meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan kelebihan majoriti dua pertiga untuk meminda Perlembagaan Persekutuan menghalang individu bukan Melayu menjadi perdana menteri.

Isu ini dibangkitkan selepas rombakan Kabinet pada Selasa, yang menyaksikan Perdana Menteri, melakukannya pertama kali sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam usaha memperkukuh pentadbiran sesuai dengan tuntutan dan keperluan semasa.

Rombakan itu melibatkan pertukaran portfolio menteri-menteri sedia ada serta penyertaan baharu antaranya Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi dan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Wanita, Keluarga Dan Masyarakat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.