Ayuhlah Kembali ‘BERSATU, BERSETIA, BERKHIDMAT’, Fahami Maksud Tersirat

1. Suasana politik hari ini semakin jauh berbeza dengan keadaan lalu yang menyebabkan kesannya amat besar kepada kehidupan keseluruhan rakyat. Pelbagai kesulitan dan kerumitan dilalui sekarang ini, maka saya imbas kembali bagaimana perlunya kita bersatu dalam apa-apa juga keadaan.

2. Dalam hal ini saya ambil cogankata UMNO – ‘BERSATU, BERSETIA, BERKHIDMAT’. Tiga patah perkataan tetapi mempunyai maksud yang amat mendalam malah akan memberi implikasi sangat positif jika diaplikasi dalam kehidupan keseluruhan masyarakat.

3. Sungguh, dengan BERSATU pada tahun 1946, maka Tanah Melayu dapat membentuk semangat nasionalisme yang sangat tinggi di seluruh tanah air, menggagalkan perancangan Malayan Union dan memperjuangkan kemerdekaan. Hasil daripada BERSATU yang membabitkan 46 persatuan-persatuan Melayu membentuk Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau ‘United Malays National Organisation’ – UMNO – maka kekuatan bangsa dapat dicapai dan gelombang kesatuan ini berjaya mengusir penjajah dan memerdekakan negara.
4. Melihat suasana hari ini, parti-parti politik terlalu banyak malah bangsa Melayu sahaja pecah sehingga 10 parti atas nama macam-macam yang jika diselusuri kesemuanya adalah berasal dari UMNO. Bermula daripada Pas yang ditubuhkan oleh Tuan Haji Ahmad Fuad pada tahun 1951 setelah tewas perebutan jawatan Yang DiPertua (Presiden) UMNO kepada Tunku Abdul Rahman.

5. Kemudian ada bermacam-macam parti lain sepanjang lebih 70 tahun penubuhan UMNO termasuk Parti Negara, Semangat 46, yang sehingga kini pun masih berlakutermasuklah PKR, PPBM, Muda dan macam-macam lagi yang kesemuanya adalah lahir akibat tidak berpuas hati, rasa iri dan mahukan kuasa setelah ditolak dalam UMNO – maka keluar dari UMNO lalu menubuhkan parti politik lain dan menarik orang-orang dari UMNO atas macam-macam janji atau jawatan.

6. Kerana itulah penekanan BERSETIA diangkat agar jati diri tidak goyah dikalangan ahli-ahli UMNO. Saya telah melaluinya bagaimana janji-janji dan tarikan diberikan dengan jawatan tinggi, kuasa dan kedudukan namun atas tekad bersetia saya pada UMNO lalu saya dipalitkan pertuduhan undang-undang dan diheret ke mahkamah atas dakwaan yang tidak saya lakukan.

7. Sungguh, BERSETIA dalam parti amat penting kerana dengan bersetia ini kekuatan akan dapat dipertahan sebaliknya jika tidak ada kesetiaan kepada ideologi dan perjuangan maka pelbagai keruntuhan berlaku, kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. BERSETIA akan mendukung kita untuk terus BERSATU namun jika tidak setia maka perpaduan akan hilang.

8. Untuk BERKHIDMAT, itulah sebenarnya nilai perjuangan UMNO iaitu berbakti pada agama, bangsa dan negara. Dengan kuasa yang ada ketika menjadi kerajaan, pelbagai dasar, polisi dan perancangan dilaksana bagi memajukan negara bangsa.

9. Pengukuhan MARA yang sebelumnya adalah RIDA, penubuhan tanah rancangan FELDA, FELCRA, dasar pendidikan yang mewajibkan pembelajaran, sokongan biasiswa dan kewangan, dasar ekonomi, Rancangan Malaysia yang kini telah memasuki ke-12 adalah antara hasil pentadbiran kepimpinan daripada UMNO. Semuanya dilaksana atas kepentingan BERKHIDMAT yang menjadi fokus utama dalam perjuangan.

10. Justeru, dalam mendepani kehidupan hari ini, saya menyeru semua agar kita sama-sama untuk bermuhasabah dengan mengembalikan kegemilangan tanah air melalui aspirasi ‘BERSATU, BERSETIA, BERKHIDMAT’.



TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR

Bendahari UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.