BN-PH Berjaya Halang Gelombang Hijau Pada PRN, Kerajaan Perpaduan Perlu Terus Dipertingkat

SAYA senada dengan kenyataan Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), YB Fahmi Fadzil bahawa gabungan perpaduan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan berjaya menghalang gelombang hijau pada Pilihan Raya Umum di enam negeri Sabtu lalu.

Saya juga bersetuju bahawa Kerajaan Perpaduan perlu meneliti dan mempertingkatkan pemilihan calon, jentera, manifesto, polisi dan atur kerja kempen menjelang PRU16 nanti.

Masa yang lebih panjang ini pasti akan memanfaatkan semua peringkat akar umbi dalam memastikan penjajaran serta kefahaman dapat dibentuk dengan lebih kukuh pada masa akan datang.

Tempoh singkat lapan bulan sejak pembentukan gabungan perpaduan BN-PH selepas berpuluh tahun di arena pilihan raya sebagai seteru politik adalah ujian pertama kesefahaman gabungan ini namun ia berjaya dilalui dengan baik.

Ini diperkukuhkan lagi dengan angka diperolehi di mana gabungan Perpaduan berjaya meraih 49.58 peratus iaitu 3,399,472 undi di keseluruhan enam negeri berbanding Perikatan Nasional yang ketinggalan 17,000 undi pada 3,382,455 (49.33 peratus).

Berpuluh tahun sebagai seteru, hanya lapan bulan terbentuk kerjasama, julung kali disatukan di pentas pilihan raya, dan ia berjaya dilalui serta meraih keputusan yang unik dan positif di peringkat akar umbi di mana segala perbezaan politik berpuluh tahun lamanya dapat diketepikan atas nama perpaduan.

Sudah tentu ini semua dapat dilakukan kerana aspirasi Perpaduan ini dibentuk bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan keutamaan diberikan kepada rakyat dan negara.

Banyak perlu diperhalusi dan diteliti bagi menghadapi PRN di enam negeri ini terutama dalam mengenali calon-calon yang dipertandingkan dan memeterai kesefahaman dalam gerak atur kerja di peringkat akar umbi, selepas lapan bulan bergabung.

Penjajaran bagi bergerak bersandarkan satu hala tuju bukan mudah apatah lagi dalam tempoh yang singkat ini namun berjaya direalisasikan dan mampu dipertingkatkan lagi pada masa hadapan.

Tiada keperluan untuk menuding jari, sebaliknya kita perlu meningkatkan usaha dalam memastikan penjajaran satu halatuju iaitu bertunjangkan aspirasi perpaduan perlu diperjelaskan lagi.

Seperti kita maklum, yang menang tak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua. Gabungan perpaduan ini juga berjaya mengekalkan status quo di tiga negeri dan Barisan Nasional yang sebelum ini bukan sebahagian dari kerajaan negeri, sudah menjadi sebahagian pembentukan kerajaan negeri.

Kita ucapkan terima kasih kepada pengundi-pengundi yang memberi sokongan kepada aspirasi perpaduan selain beri kepercayaan kepada gabungan ini untuk membentuk kerajaan di tiga negeri. Sambil itu, kita juga akan ambil kira setiap maklum balas untuk Barisan Nasional meningkatkan prestasi, pendekatan dan pelaksanaan khidmat untuk rakyat di seluruh negara.


AZALINA OTHMAN SAID
Ketua Penerangan UMNO Malaysia

******************************

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.