Wanita BN Hormati Mandat Rakyat, Hargai Kerjasama Jentera Parti – Wanita

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Wanita Barisan Nasional (BN) menghormati mandat yang telah diberikan oleh rakyat kepada BN bersama dengan rakan-rakan gabungan Kerajaan Perpaduan di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata mandat tersebut telah diterjemahkan dengan status quo yang sama.

“Tiga negeri masih ditadbir oleh Perikatan Nasional, manakala Kerajaan Perpaduan masih lagi terus diberikan mandat dan kepercayaan untuk menerajui Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera gabungan Kerajaan Perpaduan dan ahli-ahli parti yang telah bertungkus lumus berkempen selama dua minggu.

Katanya meskipun diusia gabungan Kerajaan Perpaduan masih baharu, namun kerjasama dan keserasian yang ditunjukkan oleh seluruh jentera parti telah memperlihatkan satu permulaan yang baik.

“Kerjasama ini untuk kita bersama-sama bergerak ke hadapan, membina satu pasukan yang lebih mantap di masa akan datang.

“Juga kepada kepimpinan parti yang telah memberikan kepercayaan kepada calon-calon wanita untuk berjuang di dalam enam PRN ini.

“Terima kasih juga kepada para pengundi yang terus memberi sokongan dan dokongan kepada gabungan Kerajaan Perpaduan ini, untuk kita bersama-sama membina kestabilan dan kemakmuran demi negara yang tercinta ini,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.