PH-BN Bentuk Kerajaan Perpaduan Di Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 13 Ogos – Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berjaya menubuhkan Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang selepas memenangi majoriti dua pertiga iaitu 29 kerusi daripada 40 kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata dengan kemenangan ini Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri akan dibentuk dan istiadat mengangkat sumpah Ketua Menteri Pulau Pinang baharu akan berlangsung pada Ahad.

“Kita sudah cukup kerusi untuk membentuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan akan diadakan majlis angkat sumpah ketua menteri baharu. Sepertimana diputuskan pimpinan, saya akan mewakili kerajaan negeri baharu untuk angkat sumpah,” katanya kepada pemberita di Perhimpunan Perpaduan di sini malam tadi.

Chow berkata DAP memenangi kesemua 19 kerusi DUN yang ditandingi, PKR (tujuh), Amanah (satu) dan BN (dua) daripada keseluruhan 40 kerusi DUN di Pulau Pinang.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang Oh Tong Keong berkata pihaknya menerima keputusan rakyat secara terbuka, namun agak kecewa kerana DUN Pulau Pinang akan kurang diwakili pembangkang daripada kaum Cina dan India.

“Kami berterima kasih kepada pengundi kerana memilih kumpulan pembangkang yang lebih kuat berbanding yang lepas, namun agak kecewa kerana DUN Pulau Pinang akan kurang wakil rakyat Cina dan wakil rakyat India daripada pembangkang,” katanya.

Pada PRU14, PH kekal mempertahankan kemenangannya selepas memperoleh 37 daripada keseluruhan 40 kerusi DUN, termasuk dua daripada calon Bersatu yang ketika itu masih bersama PH manakala BN memenangi dua kerusi dan PAS (satu).

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata pihaknya akan membuat analisis keputusan PRN bagi mengenal pasti punca kekalahan empat kerusi yang ditandingi parti itu.

“Berdasarkan analisis keputusan PRN, kita akan mengenal pasti kelemahan. Biarpun tidak menang, calon yang kalah akan terus berkhidmat untuk masyarakat DUN tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata walaupun partinya menerima keputusan rakyat, namun ini akan dijadikan pengajaran untuk lebih memahami dan mendekati pengundi. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.