Pasca-PRN: Ahmad Zahid Seru Rakyat Bersatu Hati, Pelihara Perpaduan Demi Rakyat

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru rakyat untuk bersatu hati dan terus bekerja keras untuk memastikan perpaduan dipelihara demi kemakmuran rakyat Malaysia.

Ini kerana katanya, Barisan Nasional (BN) bersama rakan-rakan di dalam Kerajaan Perpaduan menghormati keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang telah diterjemahkan oleh rakyat.

“BN bersama rakan-rakan di dalam Kerajaan Perpaduan menghormati keputusan pilihan raya enam negeri yang telah diterjemahkan oleh rakyat pada hari ini. Keputusan yang diumumkan telah mengekalkan penguasaan Kerajaan Perpaduan di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

“Mandat yang diperoleh hari ini juga telah menjadi asas kepada kebersamaan parti-parti di bawah Kerajaan Perpaduan untuk terus bekerjasama dan memperkasa sinergi bagi mengekalkan Kerajaan Perpaduan ini untuk tempoh lima tahun mendatang.

“Barisan Nasional mengucapkan tahniah buat calon-calon yang telah berjaya. Terimalah amanah ini untuk terus berkhidmat dan berbakti kepada rakyat. Buat yang tidak berjaya, teruslah beristiqomah dan jangan pernah berhenti untuk terus memperjuangkan aspirasi rakyat di saat kita berhadapan dengan pelbagai cabaran,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Beliau yang juga Pengerusi BN itu turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah melaksanakan tanggungjawab dengan menyalurkan undi sekaligus menyuburkan proses demokrasi negara.

“Kepada seluruh rakyat yang telah melaksanakan tanggungjawab dan amanah mengundi sekaligus menyuburkan proses demokrasi dalam negara, ucapan setinggi-tinggi penghargaan di atas komitmen dan keprihatinan demi menentukan masa depan yang lebih baik buat negeri dan negara.

“Terima kasih kepada semua ahli-ahli parti, jentera dan sukarelawan yang telah bekerja keras menjayakan kempen dan bertungkus-lumus membantu Barisan Nasional. Kini, masa untuk kita bersatu hati dan terus bekerja keras demi memastikan perpaduan dipelihara, kestabilan dijaga demi kemakmuran rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Keputusan PRN bagi keenam-enam negeri memperlihatkan gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) berjaya mengekalkan tiga negeri sedia ada iaitu Pulau Pinang, Selangor dan juga Negeri Sembilan, manakala Perikatan Nasional (PN) turut kekal bertahan di tiga negeri lagi iaitu Kedah, Terengganu dan juga Kelantan. – UMNO Online

Kenyataan Media PRN 2023 FINAL

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.