Jalaluddin Ucap Penghargaan Sokongan Rakyat Negeri Sembilan Kepada BN-PH

SEREMBAN, 13 Ogos – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias merakamkan penghargaan kepada rakyat di negeri ini yang memberikan kepercayaan kepada kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri.

Jelas beliau, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) ini memberikan manifestasi tersendiri kepada BN-PH untuk memberikan khidmat terbaik buat rakyat.

“Penghargaan kepada semua pengundi di Negeri Sembilan kerana telah memberikan mandat sepenuhnya kepada BN-PH dalam PRN kali ini.

“Mandat dan kepercayaan yang diberikan sangat mengharukan saya sehingga kita boleh menubuhkan kerajaan lebih daripada dua pertiga.

“Walaupun ada beberapa kerusi yang kita tewas bagi BN iaitu tiga kerusi setakat ini dan juga PH dua kerusi,” ujar beliau.

Jalaluddin berkata demikian ketika ditemui media di pejabat UMNO Negeri Sembilan, di sini, malam tadi.

Beliau yang juga turut memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang berkata kemenangan BN-PH adalah sokongan daripada pelbagai lapisan kaum di negeri ini untuk memastikan aspirasi pembangunan negeri dilaksanakan untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Ini adalah sokongan dan dukungan daripada semua kaum Melayu, Cina, India dan masyarakat Orang Asli dan saya yakin mandat dan amanah ini adalah untuk
melihat supaya Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan akan menjadi lebih stabil.

“…dan dapat menjalankan usaha untuk membangunkan negeri serta membela rakyat dengan lebih baik pada lima tahun akan datang,” ujar beliau.

Ketika ditanya berkenaan jawatan Menteri Besar, beliau berkata ianya diserahkan kepada kepimpinan tertinggi parti. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.