BN Kedah Akur, Terima Kekalahan PRN – Mahdzir

ALOR SETAR, 13 Ogos – Barisan Nasional (BN) Kedah akur dengan kekalahan an menerima keputusan yang dibuat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN), hari ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Perikatan Nasional (PN) yang berjaya membentuk kerajaan negeri.

“BN tetap berterima kasih kepada seluruh rakyat Kedah. Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh jentera BN yang telah bertungkus-lumus dan bekerja keras sepanjang kempen PRN kali ini.

“Kita akur dan menerima kekalahan ini kerana ini adalah adat pertandingan…akan ada pihak yang kalah dan menang,” katanya, dalam kenyataan, di sini, malam tadi.

Beliau, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, berkata parti itu tetap berlapang dada dan menghormati keputusan rakyat negeri ini yang menolak untuk meletakkan kepercayaan di tangan Kerajaan Perpaduan bagi mentadbir negeri.

“Kita telah berusaha menawan hati pengundi bukan hanya semasa kempen PRN, malah dari dahulu lagi kita sentiasa berkhidmat kepada rakyat. Tetapi apabila rakyat mengambil keputusan untuk tidak memilih BN, kita reda dengan ketentuan Allah,” katanya.

Mahdzir, yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu, tewas kepada calon PN-PAS yang juga penyandang kerusi itu Mohd Radzi Md Amin dengan majoriti 6,373 undi.

“Saya menerima kekalahan di Pedu dengan hati terbuka dan mendoakan semua pengundi di Pedu akan mendapat segala kebaikan selepas membuat pilihan menolak saya dan mengekalkan wakil rakyat berkenaan,” katanya.

Mahdzir merupakan bekas Menteri Besar Kedah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu selama dua penggal pada 2004 hingga 2013. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.