Reezal Merican Menang Di Bertam

KEPALA BATAS, 12 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berjaya memperoleh 10,453 undi untuk memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini.

Berdasarkan data keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam ini, Reezal Merican menang dengan majoriti 2,321 undi.

Reezal Merican mengalahkan penyandang kerusi itu Khaliq Mehtab Mohd Ishaq daripada Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh 8,132 undi dalam pertandingan satu lawan satu.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 tahun lepas, Reezal Merican gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kepala Batas apabila kalah kepada calon PN Dr Siti Mastura Muhammad dengan majoriti 2,867 undi.

Reezal Merican ketika ditemui pemberita berkata kemenangan itu adalah sebagai penebus kekalahannya pada PRU15.

Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata gagasan Kerajaan Perpaduan juga antara faktor kemenangan beliau selaku wakil rakyat DUN Bertam.

“Dulu BN sahaja bantu saya, sekarang rakan-rakan PH juga bantu. Sokongan kepada saya kini lebih menyeluruh kerana saya mendapat dukungan orang Melayu, Cina dan India.

Saya berasa puas dan merasakan ini kemenangan bermakna dalam senario politik sekarang,” katanya yang menyerahkan kepada kepimpinan parti bagi sebarang jawatan dalam kerajaan negeri.

Sementara itu, penyandang kerusi DUN Penaga Mohd Yusni Mat Piah (PN) mempertahankan kerusi itu apabila memperoleh 13,223 undi menewaskan Mohd Naim Salleh daripada BN yang mendapat 7,686 undi manakala di DUN Pinang Tunggal calon PN Bukhori Ghazali dari PAS menang dengan majoriti 6,928 undi apabila mendapat 17,060 undi, mengalahkan Zainuddin Mohamed daripada PKR yang memperoleh 10,132 undi. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.