Pusat Pengundian DUN Kuala Besut Berjalan Lancar, Penyokong Berhemah

BESUT, 12 Ogos – Pusat-pusat pengundian bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut yang dibuka pada pukul 8.00 pagi tadi menyaksikan proses membuang undi lancar.

Cuaca yang baik pada awal pagi membolehkan pengundi keluar awal untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Pulau Perhentian, penduduk mengambil kesempatan untuk menunaikan hak bagi memilih wakil rakyat bagi DUN Kuala Besut.

Suasana aman dan penuh muhibah ditonjolkan oleh penduduk dan kemesraaan wujud walaupun berlainan ideologi politik.

Calon Barisan Nasional (BN) DUN Kuala Besut, Ku Zaihan Che Ku Abdul Rahman turut meluangkan masa melawat pusat pengundian berkenaan.

“Kepada seluruh pengundi ambillah kesempatan dengan suasana dan cuaca yang elok pagi ini untuk keluar awal menunaikan tanggungjawab.

“Jangan tunggu saat-saat akhir… kita faham mungkin ada yang bekerja dan kekangan lain. Cuma kita berharap tunaikan hak masing-masing hari ini kerana ianya datang untuk tempoh lima tahun sekali,” katanya kepada UMNO Online.

Sementara itu di SMK Kuala Besut, suasana di luar pusat pengundian cukup terasa apabila laungan ‘Biru’ menghangatkan suasana hari pengundian.

Calon BN DUN Kuala Besut, Ku Zaihan yang tiba pada pukul 11.00 pagi sempat bertemu para penyokong yang berada di luar pusat pengundian sebelum masuk membuang undi bersama isterinya.

Hari ini adalah hari pengundian bagi PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan serta PRK Parlimen Kuala Terengganu.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak, dilaporkan berkata seramai 9,674,456 pengundi layak mengundi di PRN enam negeri tersebut dan PRK Parlimen Kuala Terengganu pula seramai 122,160 pengundi.

Bagi PRN di enam negeri itu, katanya, sebanyak 3,190 pusat mengundi dan 17,048 tempat mengundi (saluran) akan dibuka untuk tujuan pengundian dan seramai 153,760 petugas akan terlibat bagi proses pengundian itu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.