PRN: Jalaluddin, Isteri Selesai Mengundi Di Pertang

JELEBU, 12 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan Kampung Putra.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan hadir bersama isteri, Datin Seri Maziah Mohd Nor kira-kira jam 9.09 pagi tadi.

Jalaluddin kemudian terus masuk ke dalam pusat pengundian dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai pengundi.

Untuk rekod, DUN Pertang ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara Jalaluddin dengan Amirudin Hasan yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

Hari ini 12 Ogos, mencatatkan sejarah tersendiri  kepada enam negeri yang mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) secara serentak.

Ini kerana buat pertama kalinya juga, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan memilih ADUN masing-masing berasingan daripada Pilihan Raya Umum (PRU).

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah pengundi yang akan terlibat dalam PRN di enam negeri adalah lebih 9.77 juta dan Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan adalah daftar pemilih terkini, sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan April Tahun 2023 yang dikemas kini sehingga 21 Jun. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit