Mengundi Saat Akhir, Warga Seremban Laksana Kewajipan

SEREMBAN, 12 Ogos – Menjelang penutupan pusat pengundian pada jam 6 petang, masih ada dalam kalangan warga Seremban mengambil kesempatan menunaikan tanggungjawab melakukan undian.

Tinjauan UMNO Online di Sekolah Kebangsaan Ampangan, di sini mendapati ada kalangan mereka melakukan proses pengudian pada saat akhir.

Meskipun cuaca terik namun ianya tidak menghalang pengundi daripada memilih calon bagi menjadi wakil kepada mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan.

Bagi proses pengundian hari ini, sebanyak 334 buah sekolah di Negeri Sembilan dijadikan sebagai pusat mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Hari ini 12 Ogos, mencatatkan sejarah tersendiri  kepada enam negeri yang mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) secara serentak.

Ini kerana buat pertama kalinya juga, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan memilih ADUN masing-masing berasingan daripada Pilihan Raya Umum (PRU). – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit