Tenang Untuk Mengundi… Fikirkan Apa Yang Boleh Perbaiki Mutu Kehidupan – Hasnal Rezua Merican

RAWANG, 11 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang, Datuk Hasnal Rezua Merican mengajak rakyat khususnya para pengundi untuk tidak emosi sebaliknya tenang dalam memikirkan siapa sebenarnya yang layak untuk menjadi wakil rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Selayang menegaskan bahawa sewajarnya setiap keputusan perlu dipertimbang dengan memikirkan apakah perkara yang boleh meningkatkan kualiti kehidupan.

“Saya nak menyeru kepada pengundi yang belum membuat keputusan terutamanya anak-anak muda yang belum mempunyai kearifan dalam bidang politik, pertama sekali duduk dengan tenang, fikir semasak-masaknya kerana proses pilihan raya ini tidak menentukan syurga dan neraka kita.

“Fikirkan apa yang boleh memperbaiki mutu dan kualiti kehidupan kita tanpa mengkompromi kita ke akhirat. Banyak cara kita boleh buat. Jika keliru jangan dekati perkara yang bersifat abstrak, lihat perkara yang ada bukti,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyeru jentera BN dan Pakatan Harapan (PH) untuk mempergiat usaha menjelang hari pengundian iaitu esok.

“Kepada jentera ini adalah kesempatan yang diberikan, ketentuan yang telah ditetapkan untuk kita diberikan kesempatan ini. Gunakanlah kesempatan ini dengan bekerjalah sebagaimana kita tidak pernah bekerja sebelum ini, berusahalah sebagaimana kita tidak pernah berusaha sebelum ini dan bersatulah sebagaimana kita tidak pernah bersatu.

“Pastikan kita menang tidak kira siapa calonnya, tidak kira apa konflik dalaman yang ada kerana jika kita tewas dan kita menjadi satu non-entiti akibat kelemahan kita maka tidak ada sesiapa yang akan mengambil kita dalam kolisi politik akan datang.

“Bekerja hari ini akan menentukan nasib kita pada masa depan. Kalau kita masih beranggapan kita akan dapat jalan percuma dalam kerajaan maka lupakan,” katanya lagi.

Hasnal Rezua Merican menjadi taruhan BN-PH bagi merebut kerusi DUN Kuang untuk PRN di sini bagi menyumbang kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan di Selangor.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos sebagai hari mengundi bagi PRN Selangor, Negeri sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Selain itu, Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu turut diadakan serentak pada hari berkenaan.Hari penamaan calon adalah pada 29 Julai dan hari mengundi awal pada 8 Ogos ini. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit