Suriati Yakin Rakyat Pilih ‘Kalih Bagi Sama’ Di DUN Kuala Ketil

KUALA KETIL, 11 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Ketil Suriati Che Mid yakin rakyat di kawasan itu akan memberi kepercayaan kepadanya bagi mewakili mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 ini.

Kata Ketua Wanita UMNO Bahagian Baling itu, apa yang perlu dilakukan lagi di saat-saat ini adalah menggiatkan usaha menarik seramai mungkin pengundi khususnya Melayu atas beberapa faktor.

“Saya rasa graf saya semakin menaik (sokongan kepada BN). Begitu juga pengundi Cina dan India saya yakin mereka akan memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada BN untuk menerajui, memimpin dan menang di Kuala Ketil ini.

“Dan saya sedang berusaha untuk pengundi Melayu di mana di Kuala Ketil berlawan satu dengan satu bersama calon Perikatan Nasional (PN). Jadi untuk pengundi Melayu ini saya perlu lebih melipat ganda usaha merayu undi terutama di kampung-kampung. Di Baling khasnya di Kuala Ketil ada beberapa pondok yang dimonopoli Pas/PN.

“Jadi saya perlu lipat gandakan usaha di pusat daerah mengundi (PDM) yang mampu untuk menampung PDM yang menjadi tulang belakang PN,” katanya kepada UMNO Online di sini.

Jelas Suriati, beliau fokus kepada beberapa perkara bagi meningkatkan taraf hidup rakyat seperti pendidikan yang berkualiti, akses kepada internet yang lebih meluas, ekonomi rakyat dan kelestarian sungai.

Begitu juga Suriati mahu menyambung kembali perkhidmatan bas sekolah percuma yang pernah dilaksanakan oleh bekas Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Rahim serta meningkatkan lagi prasarana sukan di kawasan itu.

Justeru, Suriati menyeru semua pengundi dalam PRN kali ini ‘kalih bagi sama’ memilih parti yang sealiran dengan kerajaan pusat agar segala peruntukan pembangunan infrastruktur dan dana bantuan kebajikan lebih mudah disalurkan.

“Harapan saya supaya pada 12 Ogos nanti keluar semua mengundi beri peluang kepada saya untuk berkhidmat di DUN Kuala Ketil ini,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.