Rakyat Kelantan Mahukan Perubahan, Noktahkan 33 Tahun Pemerintahan Pas

GUA MUSANG, 11 Ogos – Rakyat Kelantan sememangnya mahukan perubahan dan berhasrat untuk menukar tampuk kepimpinan sedia ada yang telah bertapak selama 33 tahun tanpa sebarang kemajuan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, Amran Arifin memaklumkan bahawa sebagai penyandang kerusi tersebut, perjuangan untuk membina balai bomba di kawasan Paloh akan diteruskan.

“Perkara baharu satu hal, tetapi paling penting perjuangan yang belum selesai. Antara yang menjadi fokus utama saya adalah untuk mendapatkan balai bomba. Itu yang paling kritikal di dalam DUN Paloh kerana jarak balai bomba terdekat daripada Gua Musang lebih kurang 45 kilometer. Sekiranya ke kampung ini telah jadi lebih 50 kilometer.

“Apabila berlaku kebakaran, mungkin tidak dapat diselamatkan. Apatah lagi lebuhraya Kuala Krai-Gua Musang ini terlalu kerap berlaku kemalangan yang melibatkan nyawa. Disebabkan itu, saya sangat mendesak pihak kerajaan segera membina balai bomba di kawasan Paloh supaya segala perkara berkaitan dengan kemalangan dapat diatasi dengan baik.

“Sekurang-kurangnya rakyat akan berasa selamat dengan adanya balai bomba di kawasan Paloh,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, beliau mempunyai keyakinan bahawa rakyat di Kelantan akan memberikan peluang kepaqda Kerajaan Perpaduan mentadbir negeri itu sekaligus menoktahkan kepimpinan Pas.

“Sebenarnya di Kelantan ini berdasarkan pemerhatian saya, rakyat mahukan perubahan tetapi sayangnya sahabat-sahabat saya di luar Kelantan tidak melihat kepentingan untuk mengubah Kelantan supaya selari dengan kerajaan persekutuan.

“Saya kira ini tidak bagus untuk pembangunan negeri kerana mereka di luar menikmati pelbagai kemudahan disediakan negeri-negeri lain yang bukan ditadbir oleh Pas tetapi Kerajaan Perpaduan.

“Tetapi saya mempunyai keyakinan kali ini saya kira pengundi luar akan mempunyai peluang untuk menebus kesilapan dengan balik dan undi calon BN-PH kerana Kerajaan Perpaduan telah berdiri dengan teguh. Apa sahaja keputusan berlaku di PRN tidak akan mengubah kerajaan persekutuan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Amran turut beranggapan bahawa PRN ini adalah peluang terbaik untuk rakyat memberikan kepercayaan kepada Kerajaan Perpaduan dan menyelarikan tampuk kepimpinan.

“Inilah peluang terbaik untuk kita cuba sekali. Selarikan kepimpinan kerajaan negeri dan pusat kerana dari segi asasnya, apabila terbentuknya keselarian tadi maka akan memudahkan semua urusan pentadbiran.

“Baik dari segi pembangunan negeri, ekonomi dan sebagainya. ‘Reform’ negeri Kelantan. Berilah kepercayaan yang baik kepada tatakelolanya, bukan hebat slogannya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru seluruh rakyat Kelantan dan negeri-negeri berhadapan PRN untuk memberikan peluang kepada Kerajaan Perpaduan mentadbir negeri.

“Kepada semua pengundi di Paloh dan seluruh negeri Kelantan saya menyeru agar berikanlah peluang kepada Kerajaan Perpaduan untuk menerajui kepimpinan kerajaan pusat, seterusnya selarikanlah keenam-enam negeri ini.

“Mudah-mudahan semua perancangan yang dibuat di peringkat pusat akan dapat dilaksanakan di peringkat negeri. Maknanya kita saling ‘bahu-membahu’, mengambil manfaat kecekapan pentadbiran pusat akan memberi hasil yang baik kepada kerajaan negeri,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.