PRN: Menjadi Tanggungjawab BN Untuk Sokong Calon-Calon PH

GOMBAK, 11 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan bahawa adalah menjadi tanggungjawab Barisan Nasional (BN) untuk membalas keikhlasan Pakatan Harapan (PH) dalam kerjasama dengan menyokong calon-calon mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Tegasnya, meskipun BN-PH diserang dengan pelbagai fitnah, keserasian kerjasama antara dua gabungan tersebut diyakini mampu menepis segala anasir jahat pihak lawan.

“Tidak ada istilah penat dan letih yang penting hari Sabtu ini 12 Ogos, Negeri Selangor akan terus diperintah oleh Kerajaan Perpaduan. Oleh itu, kita mahu Datuk Amirudin Shari akan terus menjadi menteri Besar Selangor.

“Kita tahu bahawa kita diserang, diterjah dengan pelbagai fitnah, seranah dan sebagainya. Tetapi saya yakin apabila merah dan biru bercantum dengan penuh keserasian, Insya-Allah. Saya telah memberitahu kita semua wajib tolong calon-calon Pakatan Harapan (PH) di Selangor ini dan negeri lain.

“Sebab saya tahu jentera PH di Selangor dan negeri lain terus menyokong calon-calon BN. Itulah semangat kita dan daripada 245 kerusi yang ditandingi sekarang, BN bertanding di 108 kerusi,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena majlis Jelajah Perpaduan Madani 2.0, di sini, semalam.

Menurut Ahmad Zahid, PH telah memperlihatkan keikhlasannya dengan memberikan BN peluang untuk bertanding di 108 kerusi di enam negeri.

“Kerusi penyandang tidak lebih daripada 38. Kita bertanding 108 kerusi ertinya PH memberikan peluang kepada BN untuk bertanding. PH telah memperlihatkan keikhlasannya kepada BN.

“Oleh sebab itu, menjadi tanggungjawab BN untuk membalas keikhlasan ini dengan memberikan sokongan kepada calon-calon PH,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di enam negeri diadakan serentak dengan 12 Ogos ini sebagai hari pengundian manakala 29 Julai sebagai hari penamaan calon manakala hari pengundian awal ialah pada 8 Ogos. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.