Mohamad Tekad Perjuang Isu Air Di Salor Sekiranya Diberi Mandat Oleh Rakyat

KUBANG KERIAN, 11 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Salor, Mohamad Husain bertekad untuk memperjuangkan isu masalah air yang saban lama membelenggu sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Tegasnya, selain daripada masalah air, beliau turut menitikberatkan permasalahan pembayaran pencen yang dihadapi oleh para veteran askar di kawasan tersebut.

“Alhamdulilah proses berkempen berjalan lancar, tidak ada perkara-perkara yang mengganggu-gugat kempen saya sepanjang selepas penamaan calon sehingga ke hari ini. Insya-Allah kempen saya ini akan diteruskan sehingga hari mengundi.

“Saya sebelum ini dapat berjumpa dengan para veteran askar di cawangan Salor. Mereka antara fokus kami berkaitan masalah pencen dan Insya-Allah saya akan cuba selesaikan masalah ini jika saya diberi mandat,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, beliau turut mendengar rintihan rakyat mengenai masalah air sepanjang tempoh berkempen ini yang padanya masih belum dapat diselesaikan oleh kerajaan Negeri Kelantan.

“Salah satu masalah lain yang sudah lama membelenggu ialah masalah air. Masalah air di Kelantan sepanjang saya berkempen, sering disebut-oleh oleh para penduduk sepanjang tempoh berkempen.

“Setiap rumah yang dikunjungi, saya akan bertanyakan kepada mereka apakah masalah yang dihadapi. Tidak lain dan tidak bukan ialah masalah air. Maka, masalah ini akan menjadi perjuangan utama saya khususnya di DUN Salor ini.

“Penduduk terpaksa menggunakan kaedah gali telaga dan kadangkala ianya menggunakan kos yang tinggi. Bagi rakyat yang mempunyai wang, tiada masalah. Bagi orang kampung, mereka memerlukan sehingga RM5,000 untuk mendapatkan kos bekalan air bersih adalah cukup rumit,” katanya lagi.

Menurut Mohamad lagi, manifesto BN dan Pakatan Harapan (PH) untuk menghapuskan tunggakan hutang air akan diterima baik oleh rakyat.

“Manifesto BN-PH untuk menghapuskan tunggakan hutang air adalah amat baik. Saya yakin ianya diterima baik oleh rakyat sebab selama ini masalah air di Kelantan ini, keluar atau tidak air tersebut kita tetap kena bayar.

“Selain masalah air, saya lihat penyediaan tempat beriadah juga kurang di Salor ini. Cukup-cukup terhad. Insya-Allah saya akan memperjuangkan perkara ini sebaiknya sekiranya diberikan mandate,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan agar para pengundi di Salor memberikan peluang untuk menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut dan memperjuangkan segala permasalahan rakyat setempat.

“Saya, Mohamad Husain calon DUN Salor memohon doa dan sokongan kepada pengundi-pengundi. Berilah peluang kepada saya kerana sepanjang tempoh berkempen banyak masalah yang perlu diselesaikan.

“Kepada para jentera, bekerjalah sebaik mungkin sehingga 12 Ogos ini untuk memastikan BN-PH menang di Negeri Kelantan bagi membentuk Kerajaan Perpaduan di negeri ini,” katanya lagi. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit