Jentera Perlu Terus Bekerja, Pastikan Tekad Rakyat Tetap Bersama Kerajaan Perpaduan – Bung Moktar

GOMBAK, 11 Ogos – Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menggesa anggota jentera dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) agar terus bekerja hingga ke saat terakhir dan memastikan tekad rakyat terus memilih Kerajaan Perpaduan.

Katanya, walaupun momentum sokongan rakyat sekarang ini berpihak kepada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) namun jentera tidak boleh berpuas hati sehinggalah selesai pengundian pada 12 Ogos ini.

“Alhamdulillah saya sudah berkempen di Selangor daripada awal sehingga ke saat-saat akhir ini dan saya nampak momentum ‘mood’ rakyat khususnya di Selangor ini amat menggalakkan untuk memberi kekuatan kepada Kerajaan Perpaduan dan calon-calonnya daripada BN dan PH.

“Saya berpesan selalu kepada jentera-jentera BN dan PH supaya nilai sendiri kerja kita yang selama ini kita laksanakan sebab dalam pilihan raya ini selagi belum ada keputusan bermakna belum ada pemenang.

“Walaupun pada asalnya kita melihat bahawa sokongan masyarakat itu amat tinggi kepada kita khususnya di DUN Gombak Setia ini tetapi ini tidak bermakna kita perlu berpuas hati sebaliknya harus meneruskan usaha,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam hal ini, beliau menekankan bahawa jentera juga perlu memastikan sokongan anak muda adalah tepat.

“Pastikan anak-anak muda khususnya jangan tersalah pilih lagi, dulu mungkin sudah terpesong sedikit maka perbetulkan kali ini.

“Negara ini memerlukan kerajaan yang stabil, pemimpin yang beramanah dan mampu memikul tanggungjawab untuk memastikan negara kita meningkat ekonomi, rakyat terpelihara dan dijaga oleh kerajaan pada keseluruhannya.”

Tegasnya yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, sesebuah kerajaan yang stabil amat penting demi masa hadapan rakyat dan negara.

“Kepada pengundi muda di seluruh enam negeri ini gunakanlah kebijaksanaan, gunakanlah kesempatan yang baik ini untuk memperbaiki kesilapan yang lalu.

“Dulu sudah silap mengundi sehinggga kerajaan kita bertukar tiga kali perdana menteri.

“Hari ini perbetulkan balik keadaan itu, kita bertekad diri kita bahawa kali ini betul-betul ingin mengundi untuk memastikan kita memiliki kerajaan negeri yang stabill dan selari dengan Kerajaaan Persekutuan,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini sebagai hari mengundi bagi PRN Selangor, Negeri sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Selain itu, Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu turut diadakan serentak pada hari berkenaan. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit