Fadzil Optimis Dapat Mempertahankan DUN Sungai Tiang

 SUNGAI TIANG, 11 Ogos – Hanya tinggal beberapa jam lagi masa berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN), calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tiang, Mohamad Fadzil Zolkipli tekad mempertahankan kerusi yang disandang oleh Datuk Suraya Yaacob pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke -14.

Beliau optimis dan yakin gerak kerja yang dilakukan oleh UMNO bahagian Pendang serta dibantu jentera Pakatan Harapan (PH) dapat memenangi dan mengekalkan DUN Sungai Tiang itu.

“Saya yakin dan optimis BN akan mempertahankan DUN Sungai Tiang. Gerak kerja yang dijalankan daripada jentera-jentera Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bahagian Pendang serta dibantu jentera PH yang sangat bersungguh-sungguh membantu memenangi dan mengekalkan kawasan ini.

“Saya mengharapkan pengundi-pengundi DUN Sungai Tiang ini mempunyai pemikiran yang rasional. Kenapa perlu pilih BN? Sudah pasti rakyat perlu dibantu, infrastruktur perlu diselesaikan, isu-isu perlu dibela dan yang memerlukan dibekalkan ini diperlukan kuasa dan kuasa itu adalah ‘Yang Berhormat’ mewakili kerajaan.

“Sekiranya pengundi beri ruang kepada PN (Perikatan Nasional) sudah pasti mereka silap ternyata PN adalah pembangkang dan berilah kuasa padanya untuk BN menyelesaikan banyak isu-isu rakyat di DUN Sungai Tiang ini, insya-Allah,” ujarnya.

Tambah Fadzil, beliau mengharapkan ‘kalih bagi sama’ ini dapat menyedarkan rakyat Kedah amnya agar seiring dan sejalan dengan kerajaan Pusat.

“Kalih bagi sama sememangnya diciptakan untuk faham dan sedarkan pada rakyat bahawa kepentingan memastikan kerajaan ini sama dengan Persekutuan.

“Kerajaan negeri perlu sama dengan Persekutuan. Kalih bermaksud hari ini dipimpin oleh kerajaan Pas sudah pasti tidak selari dan sehaluan dengan Persekutuan maka kena kalih kerajaan ini sama dengan Persekutuan,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pendang itu menyeru pengundi muda agar memberi peluang kepada BN memenangi PRN ini dan tidak mengulangi kesilapan pada PRU lalu.

“Saya yakin anak muda kini adalah yang ada akal dan berpelajaran, mana mungkin mereka hendak silap kali kedua. Beri ruang pada BN untuk memenangi PRN.

“Saya faham pada PRU ke 15 lalu gelombang mereka saluran tiga, empat ini banyak memihak pada PN mungkin ada beberapa faktor ketika itu tetapi kini ‘wave’ sudah semakin reda dan anak-anak muda sudah mula berfikir kesilapan yang dilakukan pada PRU lalu,” katanya.

Begitu juga katanya dengan kelebihan sebagai anak tempatan, beliau sebelum ini sering mendekati rakyat di kawasan itu dan bukan hanya muncul ketika kempen PRN ini sahaja.

“Sudah bergerak awal sebulan sebelum penamaan calon, bergerak dan berjumpa dengan orang kampung, ahli dan sebagainya.

“Bagi saya dua minggu ini hanya ‘touch up’ dan selesaikan beberapa isu yang tertangguh sahaja,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.