Ahmad Zahid Seru Rakyat Enam Negeri Tunai Tanggungjawab, Bentuk Kerajaan Atas Semangat Malaysia Madani


KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Kebersamaan yang kini wujud di antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di peringkat persekutuan telah menunjukkan keberhasilan maka lebih manis sekiranya seluruh kerajaan negeri ditubuhkan atas semangat Malaysia Madani, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu turut menyeru para pengundi di negeri yang berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk menunaikan tanggungjawab mereka dalam memilih wakil rakyat.

“Saya selaku pengerusi Barisan Nasional ingin merayu kepada semua pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan untuk turun mengundi beramai-ramai pada hari Sabtu, 12 Ogos bermula jam 8.00 pagi.

“Laksanakanlah amanah anda bagi memilih wakil rakyat yang akan mewakili anda di Dewan-dewan Undangan Negeri nanti dan seterusnya membentuk kerajaan negeri akan mentadbir demi masa hadapan lebih sempurna,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menyeru agar rakyat memilih calon-calon dari Kerajaan Perpaduan demi kestabilan dan kemakmuran negeri.

“Kebersamaan yang kini wujud di antara BN-PH di peringkat persekutuan telah menunjukkan keserasian dan keberhasilannya. Lebih manis kiranya jika seluruh kerajaan negeri nanti ditubuhkan juga atas semangat Malaysia Madani.

“Undilah calon-calon BN dan PH. Undilah Kerajaan Perpaduan demi kestabilan dan kemakmuran,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu dilaksanakan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit