Tolak ‘Sedekah Politik’, Ahmad Zahid Minta PDRM, SPRM, SPR Pantau PRN

GOMBAK, 10 Ogos – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memantau aktiviti semua jentera politik semasa hari pengundian bagi menegakkan demokrasi dalam negara.

Katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, sama ada kalah atau menang perlulah dilaksana secara demokratik.

“Pihak lawan sekarang ini agak senyap, agak tidak banyak melakukan aktiviti secara terbuka, saya khuatir strategi saat akhir akan dilakukan oleh mereka.”

“Saya minta PDRM, SPRM, SPR pantau aktiviti semua jentera terutama pihak sana. Kita mahu yang menang secara demokratik, kalah secara demokratik… nak menang mesti dalam gelanggang dan bukan beri ‘sedekah politik’ untuk membeli undi.

“Saya mahu ketiga-tiga agensi ini bekerjasama demi kepentingan rakyat keseluruhan,” katanya.

Beliau juga menjelaskan ikatan kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) berlangsung secara ikhlas sehinggakan sanggup memberikan kerusi-kerusi yang dimenangi sebelum ini.

“Bayangkan daripada enam negeri yang ada PRN, sekarang kita bertanding 108 kerusi termasuk kerusi-kerusi yang disandang oleh mereka iaitu oleh Dap, PKR dan Amanah.

“Mereka diberikan kepada kita (BN) untuk ditandingi. Kerusi Dap di DUN Dusun Tua, kerusi PKR di DUN Gombak Setia beri pada kita, kerusi Amanah di DUN Lenggeng beri pada kita.”

Kerana itu katanya sokongan perlu diterjemah bagi memastikan Kerajaan Perpaduan dapat dibentuk di enam negeri terlibat.

“Saya harap sokongan akan diterjemahkan dalam bentuk undi dan perubahan di enam negeri akan berlaku. Kita tolak pengkhianat daripada parti apa pun dan berikan kemenangan kepada Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau turut berharap agar anggota jentera terus bekerja dalam baki kempen sehari lagi.

“Insya-Allah kita akan dapat majoriti dua pertiga di Selangor. Inilah masa yang paling getir untuk kita bekerja… hanya esok kita sehari lagi akan bekerja dan hari Sabtu akan mengundi.”

Terdahulu beliau merasmikan Karnival Kerjaya MADANI bersama Hawa Malaysia, dan disaksikan Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar di Dewan Serbaguna JAKOA Batu 12 Gombak, di sini hari ini.
Turut hadir dalam program ini ialah calon DUN Gombak Setia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

SPR menetapkan Sabtu ini sebagai hari mengundi bagi PRN Selangor, Negeri sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Selain itu, Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu turut diadakan serentak pada hari berkenaan.Hari hari mengundi awal telah berlangsung pada 8 Ogos lalu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.