Pemuda UMNO Libaran Angkat Kebersamaan Jentera BN-PH Demi Menangkan Mohd Al-Hafizi

KUALA LANGAT, 10 Ogos – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Libaran, Mohd Razlan Dandan memaklumkan jentera parti dari Sabah sepakat bersama-sama anggota tempatan termasuk daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) demi memastikan calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang Mohd. Al-Hafizi Abu Bakar beroleh kemenangan.

Katanya, sepanjang berkempen di sini pelbagai gerak kerja dilaksana dan terus dilipatgandakan menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu ini.

“Dengan izin-Nya, ayuh beramai-ramai penduduk Sijangkang hadir pada 12 Ogos 2023 untuk mengundi Calon BN No 2 DUN 51 Sijangkang. Mohd Al-Hafizi Abu Bakar.

“Semoga calon BN No 2, DUN Sijangkang ini memperoleh kejayaan dan kemenangan. Insya-Allah kemenangan ini adalah suara rakyat penduduk Sijangkang yang akan diangkat dalam sidang DUN untuk menyelesaikan permasalahan serta memajukan dari segi pembangunan yang pesat di kawasan ini,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam masa yang sama, Mohd Razlan turut yakin bahawa calon-calon BN-PH di kawasan lain juga akan beroleh kemenangan dan dapat menyokong keteguhan Kerajaan Perpaduan.

“Kepada semua calon Kerajaan Perpaduan yang bertanding di dalam PRN enam negeri ini, didoakan semoga kejayaan dan kemenangan berpihak kepada kita, insya-Allah,” katanya lagi.

DUN Sijangkang menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara Mohd. Al-Hafizi dan Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi mewakili Pas. Mohd. Al-Hafizi adalah calon yang membawa misi menawan semula kerusi DUN Sijangkang yang sudah tiga penggal dikuasai wakil Pas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dijalankan serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian.

Sebelum ini Kelantan terlebih dahulu membubarkan DUN iaitu pada 22 Jun lepas, diikuti Selangor 23 Jun manakala Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu masing-masing pada 28 Jun dan Negeri Sembilan pada 1 Julai. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.