Hapus Tunggakan Bil Air, Penurunan Cukai  Dan Pecah Lot Tanah…’Tok Ke Rakyat Kelate Toksir’ – Jazlan

PASIR PUTEH, 10 Ogos – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob hari ini sekali lagi mengulangi tekad BN untuk rakyat negeri berkenaan terutama berkaitan penghapusan tunggakan bil air selain penurunan cukai tanah jika parti berkenaan dan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri pada 12 Ogos nanti.

Menurut beliau, begitu juga dengan penurunan kadar pecah lot tanah yang sebelum ini cukup tinggi selain hasrat untuk menubuhkan Kolej Tahfiz Negeri Kelantan yang merupakan satu peluang keemasan untuk melihat ianya menjadi realiti.

“Penghapusan tunggakan bil air bermula 12 Ogos ini ke belakang… cukai tanah turun ‘nok ko tok sir…’ harga pecah lot turun ‘nok ko toksir’. Kita janji turun … kita turun dan tidak menipu… UMK kita dah bawa masuk… apatah lagi mahu bawa masuk satu lagi universiti maahad tahfiz di Kelantan.

“Sebelum itu… kita perlu tolong diri sendiri dahulu. Rakyat kelantan perlu tolong diri sendiri. Kalau berubah dan sama dengan kerajaan di Putrajaya bermula 13 Ogos nanti rakyat Kelantan akan terbela di bawah urus tadbir yang baharu,” katanya.

Beliau berkata demikia ketika berucap pada Majlis Himpunan BN-PH di Kompleks Uthmaniyyah, Pasir Puteh, semalam. Turut serta Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta barisan calon BN-PH di empat DUN Parlimen Pasir Puteh.

Jazlan seterusnya menambah kehadiran beberapa kali pimpinan utama negara ke negeri berkenaan sebenarnya memberi maksud yang amat signifikan untuk rakyat.

“Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Kelantan apa ‘signalnya’… ’nak oyat’ ubahlah. Kalau Kelantan ubah bermakna bersama dengan Kerajaan Perpaduan… erti apa lagi… bermakna tumpuan diberikan kepada Kelantan… Kelantan tertinggal tiga abad daripada pelbagai sudut dan perlu dibangunkan dalam pelbagai sudut… jadi orang mahu tolong inilah masanya.

“Jadi inilah masa dan ketikanya untuk lakukan perubahan. Cukuplah kita dipermainkan dan cukuplah dibelai dengan segala janji manis sebelum ini. Ini bukan gurau senda dan yang penting pengundi dan rakyat. Kita minta sekian kalinya untuk berikan kepercayaan. Sabtu ini kita bukan mahu pilih agama tetapi pilih parti,” ujarnya lagi.- UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit