Dikaitkan Sebagai Calon MB, Lawan Mahu Lagakan Saya Dan Rakan PH – Asna

SEREMBAN, 10 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng, Mohd Asna Amin menganggap pihak lawan sengaja mahu melaga-lagakan dirinya dengan rakan-rakan daripada Pakatan Harapan (PH).

Katanya sebagai menjawab isu berkenaan namanya disebut sebagai calon Menteri Besar Negeri Sembilan.

“Sebenarnya bukan semalam tapi dah lama mereka viralkan saya calon Menteri Besar, saya hendak bagi tahu bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah meletakkan calon Menteri Besar iaitu Datuk Seri Aminuddin Harun.

“Sebagai ‘poster boy’ sudah tentu dialah yang diketengahkan dan inilah perang saraf untuk melagakan antara calon-calon BN-PH supaya ‘oh ini calon MB’ jadi ada sabotaj sana sini,” katanya.

Naib Ketua UMN Bahagian Seremban itu juga berkata berkemungkinan mereka juga mahu menggeruhkan hubungan baiknya dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Katanya sedangkan beliau sendiri juga tidak pernah dimaklumkan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkenaan calon Menteri Besar yang dikaitkan dengan dirinya.

“Hendak melagakan saya dengan Datuk Jalaluddin, sedangkan dia adalah boss saya… selalu kami berhubung.

“Malah tidak pernah sepatah pun Presiden kata saya ini calon Menteri Besar. Jadi pihak kita memang langsung tak ambil tahu, tak balas,” ujar beliau.

Mohd Asna dalam pada itu berkata ini adalah serangan yang sengaja direka memandangkan hari kempen hanya berbaki kurang daripada dua hari.

“Ini perang saraf hari-hari terakhir, ramai nasihat saya bagitahu berjaga tiga hari terakhir. Tak sangka pula keluar isu ini, nak melagakan saya dengan sapa pun tak tahu.

“Jadi saya nampak mereka hendak melagakan saya dengan PH, supaya undi PH sabotaj,” tegas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.