Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan Realistik, Bukan Bersifat Gula-gula Pilihan Raya – Zaidy

JEMPOL, 10 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir menyifatkan Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan bukan bersifat gula-gula pilihan raya.

Jelas beliau, ia sebaliknya adalah bersifat realistik kepada keseluruhan rakyat di negeri ini yang memberikan manfaat kepada mereka.

“Mengenai manifesto Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan saya melihat rata-rata rakyat menerima sangat gembira khususnya di Jeram Padang.

“Ianya bukan bersifat gula-gula kepada rakyat untuk mengundi Kerajaan Perpaduan sebaliknya ia adalah suatu draf yang akan dilaksanakan dalam masa akan datang sekiranya Kerajaan Perpaduan diberi mandat mentadbir Negeri Sembilan.

“Saya ucapkan tahniah kepada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun kerana memberi manifesto yang memberikan manfaat kepada rakyat terutama kepada anak muda contohnya mendapat subsidi RM500 kepada mereka yang berkahwin buat kali pertama,” ujar beliau.

Mohd Zaidy yang masih berkerusi roda selepas terlibat kemalangan pada 31 Julai lalu berkata, beliau tetap meneruskan kempen untuk bertemu pengundi bagi menyampai aspirasi pembangunan di Jeram Padang.

Beliau juga dalam pada itu meluahkan penghargaan kepada kepimpinan tertinggi BN dan Pakatan Harapan (PH) yang hadir ke DUN ini dalam siri kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

“Saya keluar berkempen seperti biasa tetapi menggunakan kerusi roda, kempen dilakukan lebih kepada rumah ke rumah bertemu dengan sebanyak mungkin pengundi di Jeram Padang bersama jentera.

“Ketika saya berehat dua hari itu jentera seperti biasa mengikut perancangan dan diatur oleh pihak jentera DUN, alhamdulillah rata-ratanya masih bersemangat.

“Saya juga berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sanggup turun ke Jeram Padang dan berkempen untuk menangkan saya,” katanya.

Jelas Mohd Zaidy ianya sekaligus memberikan signal jelas bahawa sokongan kepada BN-PH adalah penting bagi menyumbang kerusi kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Untuk rekod, DUN Jeram Padang ini menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Mohd Zaidy dan Surash Sreenivasan mewakili Perikatan Nasional (PN). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.