Anak Muda Tekad Noktah 33 Tahun Pemerintahan Pas, Bawa Angin Perubahan Selesai Masalah Rakyat

TANAH MERAH, 9 Ogos – Anak-anak muda di Negeri Kelantan bertekad untuk menoktahkan pemerintahan Pas selama 33 tahun di negeri itu yang tidak membawa apa-apa perubahan terutamanya kepada golongan tersebut.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gual Ipoh, Zuhairi Zakaria berkata, beliau sebagai calon anak muda mahu membawa angin perubahan ke kawasan ditandingi dan menyelesaikan segala permasalahan rakyat.

“Alhamdulilah proses berkempen berjalan dengan lancar, tidak ada sebarang yang tidak diingini berlaku. Saya mendoakan supaya kempen ini sampai ke 12 Ogos dengan baik.

“Kita nak lihat bahawa perubahan kepada anak muda terutamanya dari segi pembangunan sukan yang anak muda utamakan. Begitu juga dengan peluang pekerjaan, kita akan cuba untuk membuka ruang dan peluang kepada anak-anak muda di sekitar Gual Ipoh.

“Selain itu, kebajikan kepada anak-anak muda dan tumpuan saya ialah kita memperkasakan orang-orang muda di Gual Ipoh. Manakala orang-orang lama, saya perlu memberikan tumpuan khas kepada kebajikan mereka,” katanya kepada UMNO Online.

Tegasnya, beliau sebagai calon muda perlulah menunjukkan visi yang ingin dibawa dengan jelas untuk menambat hati para pengundi khususnya di DUN Gual Ipoh.

“Kita sebagai calon orang muda terutamanya perlulah menunjukkan visi mengenai apa yang nak bawa. Visi kita untuk melihat bahawa orang muda lebih tertarik kepada calon-calon ini, kita kena bawa satu visi yang jelas untuk anak-anak muda ikuti. Contohnya dari segi pembangunan, sukan dan juga dari segi ilmiah.

“Kelantan ini telah diperintah oleh Pas selama 33 tahun dan kami orang muda nak lihat perubahan besar berlaku di sini. Kami bertekad selaku orang muda untuk melihat 33 tahun ini diberhentikan sampai di sini sahaja untuk kami memperjuangkan hak orang muda.

“Pesanan saya kepada para pengundi Gual Ipoh supaya berilah ruang dan kepercayaan kepada calon muda untuk mengemukakan apa jua permasalahan yang kita nak bawa,” katanya lagi. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit