Ahmad Zahid Seru Jentera Berusaha Sehabis Baik Pastikan Kemenangan BN-PH

LANGKAWI, 10 Ogos – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru semua jentera bersatu padu dan berusaha sehabis baik dalam memastikan kemenangan BN dan Pakatan Harapan (PH) di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Kata Timbalan Perdana Menteri itu, semua mesti berazam untuk mengubah semula landskap politik negeri Kedah agar kebajikan dan kepentingan rakyat terbela di bawah Kerajaan Perpaduan.

“Kita mesti berazam dan bekerja ubah balik landskap politik di Kedah ini. Nak dapat 19 (kerusi) jadi kerajaan, insya-Allah… kita ada siang, kita ada malam… takkanlah dunia ini malam selalu, insya-Allah siang akan terbit semula di negeri Kedah pada 13 Ogos iaitu pada sehari selepas mengundi.

“Saya bukan mendahului hukum Allah… tidak. Tetapi tanda-tanda kemenangan itu tidak boleh kita harap yang sebelah sana (tanah besar Kedah) sahaja, di sini juga Ayer Hangat dan Kuah wajib menang untuk cukupkan 19 atau lebih 19.

“Sebab rakyat Kedah sengsara banyak dah. Nadir bumi (REE) kita tahu pergi mana? Dia cakap hari ini lain tak kenal, besok kenal… rakyat Kedah akan bangkit, akan bangun untuk tukar kerajaan Kedah ‘kalih bagi sama’,” katanya ketika program santai bersama pengundi di Pusat Daerah Mengundi Teriang, Ayer Hangat di sini, Selasa.

Turut sama hadir Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Pengerusi UMNO Perlis Datuk Rozabil Abdul Rahman dan calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hangat Hisham Suhaliy Othman.

Hadir sama bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid.

Selain Kedah, beliau juga melihat Kerajaan Perpaduan berpeluang merampas negeri Kelantan dan Terengganu dan mentadbir dengan lebih

“Kita akan buat yang lebih baik daripada Kerajaan Pas, insya-Allah… Langkawi jika masih di bawah Pas akan jadi makin teruk. Yang boleh transform (adalah) Kerajaan Madani, Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Insya-Allah saya akan bantu agar Langkawi maju semula,” tekad Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO.

Ahmad Zahid berkata pulau Langkawi perlu dimajukan semula dalam usaha menarik kehadiran lebih ramai pelancong bagi meningkatkan pendapatan dan ekonomi penduduk di situ.

Ujarnya, antara perkara yang perlu diberi perhatian segera adalah berkenaan perkhidmatan feri yang dilihat memberi kesan terhadap jumlah kedatangan pelancong selain perlu diadakan program peringkat kebangsaan dan antarabangsa setiap bulan bagi menggalakkan industri pelancongan yang turut akan memberi impak kepada pelbagai industri lain di sini.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata dengan penganjuran program secara lebih kerap ia akan memberi limpahan rezeki kepada pemain industri khususnya penginapan, pengangkutan dan makanan.

Perkara demikian katanya, pernah dilaksanakan ketika era pentadbiran Perdana Menteri Keenam Datuk Seri Najib Razak dan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan selain anjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) yang hanya diadakan dua tahun sekali. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.