Jangan Percaya Dakwaan Pihak Lawan, Keputusan PRN Tidak Akan Ubah Kerajaan Pusat – Rafi

HULU LANGAT, 7 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan mengingatkan para pengundi yang bakal menjalankan tanggungjawab sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini agar tidak percaya dengan dakwaan pihak lawan.

Tegasnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan, apa-apa keputusan dalam PRN di Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak akan memberi kesan atau mengubah kerajaan Pusat.

“Saya juga ingin maklumkan khususnya kepada pengundi-pengundi atas pagar bahawa keputusan PRN ini tidak akan mengubah kerajaan pusat, PRN pada 12 haribulan ini tidak boleh menukar siapa-siapa.

“Menukar Perdana Menteri… menukar Kerajaan Persekutuan… kerajaaan ini akan terus kekal untuk lima tahun akan datang dan bacaan politik saya juga 12 haribulan ini Negeri Selangor akan kekal menjadi milik Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang turun berkampung di Selangor telah membantu kempen calon DUN Dusun Tua, Datuk Johan Abdul Aziz.

Kata Mohd Rafi, adalah penting di Dusun Tua untuk pastikan ada wakil untuk Kerajaan Perpaduan dan wakil rakyatnya juga sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan.

“Jadi apa yang penting kita perlukan pembangunan, kita perlukan bantuan kerajaan sama ada Kerajaan Pusat ataupun Kerajaan Negeri.

“Jadi kepada pengundi-pengundi di Dusun Tua ini turunlah ramai-ramai pada 12 haribulan, undinya calon nombor satu iaitu Datuk Johan yang mewakili Barisan Nasional dan Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya negeri di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu serta Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Kuala Terengganu diadakan serentak pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.