Jahaya Yakin Sokongan Pengundi, Teruskan Kempen Hingga Saat Akhir

KUALA SELANGOR, 7 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram, Datuk Jahaya Ibrahim yakin bahawa pengundi akan memilih beliau sebagai wakil rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti.

Namun demikian, beliau memaklumkan tidak mengambil mudah malah akan meneruskan kempen dengan menggiatkan jentera parti hingga ke saat-saat akhir.

“Keyakinan kepada pengundi, sokongan semakin meningkat sepanjang tempoh kempen dan berharap ia diterjemahkan pada hari pengundian 12 Ogos nanti.

“Saya mengharapkan pengundi-pengundi di sini kekalkan sokongan daripada awal dan jangan berubah biarpun ada tawaran-tawaran tertentu termasuk duit daripada pihak lawan.

“Insya-Allah kita boleh menang tambahan dengan gerak kerja dan sokongan daripada kepimpinan tertinggi termasuk kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri di sini,” katanya kepada UMNO Online.

Terdahulu beliau menyantuni Ahmad Zahid yang bersama-sama pada Majlis Doa Selamat sempena Bulan Kemerdekaan dan Kesejahteraan MADANI, di sini, malam tadi.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua UMNO Bahagian Kimanis, Datuk Mohamad Alamin dan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar selain kepimpinan Pakatan Harapan tempatan.

Berkaitan pihak lawan, beliau mengakui walaupun ditentang oleh bekas kepimpinan UMNO namun beliau yakin sokongan akan tetap berpihak kepadanya.

“Pihak lawan bukan orang tempatan dan mempunyai kes atau isu yang masih belum selesai,” katanya.

Berkaitan pengundi muda, Jahaya yakin akan turut mendapat tempat di hati mereka.

“Bagi pengundi muda kita mempunyai mempunyai perancangan berkaitan aktiviti anak-anak muda, yang telah dilaksana dan yang akan dilaksana.”

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor memaklumkan turut fokus kepada keperluan masyarakat setempat.
“Rakyat di sini nakkan balai polis, balai bomba dan klinik kesihatan. TPM tadi dah janji akan dapat laksanakan namun apa yang penting adalah perlu menang dahulu,” katanya lagi.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram menyaksikan pertembungan dua penjuru pada PRN Selangor kali ini. Jahaya ditentang bekas Timbalan Ketua UMNO Sungai Buloh, Datuk Harrison Hassan.

Untuk rekod, kerusi DUN Jeram sebelum ini dimenangi Mohd Shaid dari PKR yang memperoleh 7,087 undi menewaskan calon BN, Zahar Azlan Arifin (5,896) dan calon PAS Mohd Nor Mohd Shahar (4,326). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.