Rakyat, Ahli UMNO Jangan Terpengaruh Sentimen Dibawa PN – Wan Rosdy
KAPAR, 6 Ogos – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berharap rakyat termasuk ahli parti untuk tidak terpengaruh dengan helah Perikatan Nasional (BN) yang memainkan sentimen mengenai kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Katanya, momokan kerjasama tersebut yang hanya berkisarkan UMNO dan Dap tidak benar kerana Kerajaan Perpaduan ini adalah didukung oleh 19 parti.
“Didapati ada sedikit kekeliruan yang harus difahami terutama akar umbi kerana PN memainkan isu UMNO dan Dap bergabung. Walhal tidak benar sama sekali, ini adalah suatu perkara yang war-warkan PN untuk kelirukan rakyat
“Saya harap rakyat boleh fikir UMNO/BN hanya ada 30 kerusi sedangkan Dap ada 40 maknanya ada 70 kerusi, tak boleh bentuk kerajaan. Macam mana mereka kata UMNO dan Dap bergabung?
“Kita adalah BN bersama PH dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kena ingat bahawa kita bekerjasama mewujudkan Kerajaan Perpaduan kerana tidak ada mana-mana parti pun yang boleh tubuh kerajaan secara sendiri,” katanya pada UMNO Online.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang dalam pada itu berkata kerjasama antara dua parti ini perlu dinilai dengan terbuka kerana ianya dilakukan demi kestabilan negara.
“Kita tahu wujudnya Kerajaan Perpaduan ini kerana tidak ada mana-mana blok parti yang boleh menubuhkan kerajaan dan dengan titah Yang di-Pertuan Agong supaya wujudnya Kerajaan Perpaduan jadi sekarang kita tidak bergerak solo,” ujar beliau.
Malah menurut Wan Rosdy lagi, rakyat perlu memanfaatkan PRN ini untuk memilih BN-PH yang kompeten dan pengalaman dalam melakukan tadbir urus Persekutuan dan negeri.
“Jadi pada PRN ini rakyat kena lihat trek rekod, pencapaian dan kejayaan sebelum ini maknanya semasa mentadbir apa yang telah dilakukan, adakah keadaan bertambah baik atau tidak ada apa perubahan,” katanya. – UMNO Online