PRN: BN-PH Optimis Mampu Rampas Kedah, Kelantan Dan Terengganu

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Umpama tujuh hari ‘tempoh percubaan percuma’ telah tamat, kini kempen pilihan raya negeri (PRN) beralih pada tahap ‘premium’, menyaksikan usaha perebutan tiga negeri ditadbir Perikatan Nasional (PN) iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu semakin sengit menjelang hari pengundian pada 12 Ogos ini.

Meskipun cabaran besar menanti gabungan Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) dalam usaha menyingkirkan PAS, ‘taiko’ besar dalam PN di ketiga-tiga negeri majoriti Melayu dan Islam itu, sentimen dan ‘mood’ pengundi terhadap BN-PH, turut menunjukkan trend positif dan menggalakkan.

Tanpa menjanjikan bulan bintang, pecutan akhir kempen menggunakan pelbagai kaedah unik, misalnya replika kapal terbang berharga RM18,000 dibaluti bendera PAS di Kedah, malah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan ‘bakat’ nyanyian di pentas kempen BN-PH di negeri itu.

“Cukuplah sekali, cukuplah sekali, cukuplah sekali ditipu,” begitu bait-bait lagu ‘Cukuplah Sekali Ditipu’, yang dinyanyikan Pengerusi BN itu pada Jelajah Perpaduan MADANI, dalam usaha memikat hati pengundi yang kini tidak lagi mudah terpedaya dengan kontroversi, sebaliknya bijak menilai prestasi.

Kehadiran pemimpin utama termasuk Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, Perdana Menteri yang juga Presiden PH Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turun berkempen di ketiga-tiga negeri ini turut menaikkan suhu dan kehangatan kempen yang berbaki lima hari lagi, sebelum hari pengundian pada 12 Ogos.

Kedah, negeri ‘paling panas’ dalam PRN kali ini, dihujani dengan isu berkaitan unsur nadir bumi (REE) apabila perang dua ‘S’ – Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Kedua-dua mereka, menjadi dua watak utama yang kerap melontar hujah berkaitan isu itu di pentas ceramah dan program kempen masing-masing, namun penganalisis politik Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani melihat isu REE adalah perkara serius yang harus dijelaskan Muhammad Sanusi.

Walaupun terpalit dengan kontroversi berkenaan, Muhammad Sanusi, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat terus lantang bersuara, dengan klip-klip video ceramahnya yang ‘berlegar-legar’ menerusi media sosial terutamanya TikTok, masih mengekalkan sasaran menang 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Namun kesungguhan BN-PH berusaha menakluk Kedah tidak boleh disangkal apabila Anwar sendiri turut berani menggempur kubu Muhammad Sanusi yang merupakan penyandang DUN Jeneri, menerusi kempen di Felda Teloi Timur, Jeneri, tempat Muhammad Sanusi bertanding satu lawan satu menentang calon BN Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim.

“Saya nampak dalam tempoh kempen terdapat peningkatan momentum sokongan ikut kawasan masing-masing. Sebab kami (BN) bertanding 15 kerusi di Kedah ini, jadi nampak di tiap-tiap tempat itu dia punya momentum dan aura untuk orang datang balik kepada BN,” kata Pengerusi BN Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Mengulas perjalanan kempen dan meneliti peluang parti-parti yang bertanding di Pantai Timur, penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub melihat kesemua calon bagi 32 kerusi DUN Terengganu dilihat semakin lincah di gelanggang kempen, dan saingan sengit bermula sedari awal lagi, seusai proses penamaan pada 29 Julai lepas.

Hakikat latar politik bak pendulum di Terengganu juga tidak menenggelamkan kebarangkalian bahawa sokongan terhadap calon blok PN, yang menggunakan logo PAS pada kertas undi di Terengganu dan Kelantan, boleh berubah jika BN dan PH mampu tampil dengan isu yang ‘meletup’, sama ada dalam aspek pembangunan mahupun kepincangan kerajaan negeri.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PKR Terengganu Ahmad Sabri Ali optimis calon parti itu bagi tiga kerusi DUN dan Parlimen Kuala Terengganu berupaya meraih majoriti minimum berdasarkan momentum sokongan rakyat yang dilihat semakin kuat selepas seminggu lebih pihaknya turun padang.

Ketika ini, peratusan liputan kempen parti itu di Terengganu sudah mencecah lebih 45 peratus.

Timbalan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku pula berkata jentera BN lebih mara ke hadapan apabila sudah hampir 70 peratus liputan kempen telah dicapai dengan pelbagai program ceramah dan ziarah yang dilaksanakan tanpa mengira penat dan lelah.

“Jentera bersungguh-sungguh bekerja sebelum hari penamaan lagi. Golongan muda dan pengundi atas pagar pun kita dah ‘cover’ dan saya yakin BN-PH mampu peroleh sekurang-kurangnya 18 kerusi, dan mungkin lebih jika sokongan terus meningkat dalam tempoh minggu terakhir ini,” katanya.

PAS, yang sinonim dengan tarbiah dan pengucapan keagamaan, dilihat aktif melakukan ‘dakwah jalanan’ di kawasan tumpuan umum dan Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Ariffin Deraman berkata setakat ini kaedah itu dilihat ada impaknya dan perjalanan kempen parti itu berjalan lancar.

Perkembangan politik di negeri Cik Siti Wan Kembang, yang menjadi kubu kuat PAS, kempen pilihan raya menyaksikan ‘bulan bersinar terang’ apabila bendera PAS lebih mendominasi hampir di setiap pelosok kawasan di negeri itu, namun BN dan PH optimis untuk menang di 16 kerusi DUN Kelantan.

Setiausaha BN Kelantan Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad BN Kelantan dilaporkan berkata pihaknya yakin mampu meningkatkan jumlah kerusi yang dimenangi pada PRN kali ini, iaitu tambahan lapan kerusi daripada yang dimenangi pada PRU14 lepas, antaranya Pengkalan Kubor, Wakaf Bharu, Kota Lama dan Apam Putra.

Sentimen pengundi terhadap blok itu juga dilihat sangat positif dalam tempoh tujuh hari pertama kempen di Kelantan, sambil menyifatkan kempen sudah bersedia untuk masuk ‘gear lima’, kata Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Terengganu dan Kelantan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Dalam tempoh tersebut, beliau berkata PH telah selesai membuat antara 40 hingga 50 kempen di kawasan-kawasan terlibat, namun Nik Nazmi, yang juga Naib Presiden PKR, berkata bagi menarik pengundi atas pagar menyokong PH, antara usaha yang dilakukan adalah meminta mereka memberi peluang kepada PKR.

“Kita sudah masuk ‘gear’ empat dan akan ‘tekan minyak’ sikit lagi untuk masuk gear kelima. Kita menyasarkan sebanyak mungkin kerusi untuk menang di Kelantan berdasarkan kempen yang dijalankan di sini,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya negeri di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu serta Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Kuala Terengganu diadakan serentak pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.