Gerak Kerja BN-PH Sangat Positif, Komited Bentuk Kerajaan Perpaduan Di Selangor – Mohd Rafi

HULU LANGAT, 6 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan melihat gerak kerja jentera Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam melaksanakan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) amat positif.

Jelasnya, beliau yang turun membantu calon BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua merasai sendiri bagaimana pelaksanaan gerak kerja antara parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) dalam membantu calon BN.

“Saya ditugaskan untuk membantu jentera parti khususnya di DUN Dusun Tua dan melihat dalam tempoh tujuh hari yang pertama ini, alhamdulillah gerak kerja BN dan PH sangat-sangat positif dan kerjasama politik ini sepatutnya sudah lama berlaku.

“Kerana saya melihat, saya menjaga PDM tidak bekerja dengan pemimpin UMNO atau dengan MCA ataupun MIC tapi saya bekerja dengan PKR, Amanah, Dap dan gerak kerja mereka ini sangat-sangat positif iaitu sangat-sangat membantu untuk memastikan calon Barisan Nasional Datuk Johan menang pada 12 haribulan nanti

“Kerjasama ini perlu kita kekalkan dan saya sangat-sangat terharu, saya hargai dan berterima kasih kepada jentera PH khususnya di Dusun Tua yang membantu bagi memastikan kemenangan calon Barisan Nasional,” katanya kepada UMNO Online.

Terdahulu beliau mengiringi kempen calon BN di DUN Sungai Tua, Datuk Johan Abdul Aziz yang mengadakan sesi ‘walkabout’ di sekitar PDN Sungai Lui dan kemudiannya program sembang santai di PDM Panson.

Turut serta dalam sesi tersebut ialah Naib Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya negeri di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu serta Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Kuala Terengganu diadakan serentak pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos ini. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit