PRN Selangor: ‘Track Record’ Kecemerlangan Pentadbiran BN-PH Perlu Dikekalkan – Noraini Idris

TANJUNG KARANG, 5 Ogos – Pengundi Selangor perlu meneruskan ‘track rekod’ kecemerlangan ketika pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH) menjelang tarikh pengundian pada 12 Ogos ini.

Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Noraini Idris berkata, kedua-dua kerajaan ini sudah terbukti menunjukkan kecemerlangannya sekali gus mampu meningkatkan ekonomi Selangor sehingga menjadi antara penyumbang pendapatan terbesar di Malaysia.

Katanya, ini secara tidak langsung Selangor yang berstatus negeri maju dilihat mampu mewujudkan lebih banyak lagi peluang pekerjaan yang diperlukan rakyat pada masa depan.

“Rakyat Sabah juga tidak ketinggalan menjadikan Selangor sebagai lokasi pilihan utama untuk mendapatkan peluang pekerjaan melalui pelbagai bidang meliputi sektor perkilangan, perhotelan serta pembuatan.

“Ini antara faktor sangat jelas mengapa pengundi Selangor perlu mengekalkan Kerajaan PH serta BN untuk terus kekal menerajui pemerintahan semula di negeri ini,” katanya di sini semalam.

Noraini yang merupakan Ahli Dewan Negara berkata, sudah tentu apabila kestabilan politik dapat dikekalkan keadaan ini menjadi penyumbang kepada peningkatan jumlah kehadiran ramai pelabur datang ke Selangor pada masa depan.

“Sejak beberapa hari bertugas membantu jentera parti pada pilihan raya negeri ini terutama di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sungai Burung sambutan masyarakat kepada BN-PH sangat positif.

“Calon Kerajaan Perpaduan diwakili Mohamad Khir Ramli sangat dikenali pengundi di kawasan ini dan dijangka tidak menghadapi masalah untuk mengekalkan kemenangan kerusi ini pada 12 Ogos ini,” katanya yang juga merupakan Ketua Wanita Bahagian UMNO Penampang.

DUN Sungai Burung menyaksikan pertembungan antara BN diwakili Mohamad Khir dan calon Perikatan Nasional (PN) dari Pas, Mohd Zamri Mohd Zainuldin.

Kerusi DUN Sungai Burung pada Pilihan Raya Umum Ke-14 dimenangi Mohd Shamsudin (BN).

DUN Sungai Burung mempungai jumlah Pengundi seramai 31,715 orang. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit