Kedah Mampu Tawar Lebih Banyak Peluang Pekerjaan Jika Selari Kerajaan Persekutuan

KEPALA BATAS, 5 Ogos – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata lebih banyak peluang pekerjaan boleh diwujudkan di Kedah sekiranya kerajaan negeri itu selari dengan Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata banyak pelaburan yang datang dari luar masuk ke negara ini secara langsung membuka banyak peluang pekerjaan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata terdapat andaian bahawa Selangor maju kerana berdekatan dengan Kuala Lumpur namun beliau mempersoal mengapa Kedah tidak maju walaupun terletak berhampiran Pulau Pinang.

Beliau berkata penambahan pelaburan sebanyak RM30 bilion oleh syarikat dari Jerman melibatkan Taman Teknologi Tinggi Kulim, Kedah akan mewujudkan satu hab pekerjaan yang baik di negeri itu.

“Sekarang mereka menampung kira-kira 40,000 pekerjaan tetapi ingat, Taman Teknologi Tinggi Kulim itu di bawah Kerajaan Persekutuan, dalam keadaan itupun Kerajaan Persekutuan terus membantu pelabur untuk melabur di Taman Teknologi Tinggi Kulim.

“Jika kerajaan di Kedah selari, seia, sekata dengan Kerajaan Persekutuan, insya-Allah kita akan bantu rakyat negeri Kedah untuk mendapat peluang pekerjaan yang lebih besar lagi dengan usaha Kerajaan Persekutuan ini,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Kerjaya MYFutureJobs bersama Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga (HAWA) Malaysia di sini hari ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.