BNComms Manfaat Media Sosial Harungi Musim Kempen PRN – Azalina

KUALA PILAH, 5 Ogos – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan BNComms memanfaatkan media sosial sebagai platform untuk berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Jelas beliau, selain itu sayap-sayap parti itu juga memainkan peranan dalam melaksanakan gerak kerja mengikut kumpulan sasaran mereka.

“Kita kempen secara sosial media walaupun tak gerak bersama Pakatan Harapan (PH) kerana mengikut kumpulan sasaran tersendiri.

“Malah Wanita, Pemuda dan Puteri BN ada kumpulan sasaran mereka tapi BN tidak bertanding semua tetapi 108 kerusi jadi fokus kepada kawasan tumpuan.

“Saya lebih banyak memantau berkenaan kelajuan daripada sistem kempen jadi kita mahukan ianya dilaksanakan secara bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan selepas membantu calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid berkempen di Desa Bukit Gelugor, semalam.

Dalam pada itu Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata pada kempen PRN ini beliau tidak melihat calon daripada parti lawan yang membawa aspirasi rakyat dan kawasan.

Jelas beliau, malah parti lawan hanya memainkan sentimen pertukaran kerajaan Pusat sedangkan PRN ini hanya membabitkan wakil rakyat di peringkat negeri.

“Saya tengok tidak ada yang berkempen berkenaan dasar yang hendak dibawa kepada rakyat, ini bukanlah satu referendum tukar kerajaan Pusat, sedangkan pilihan raya seperti mana dituntut Perlembagaan adalah untuk memilih kerajaan negeri.

“Jadi perkara yang hendak dibawa ke kawasan itu akan menjadi ukuran dan rakyat mesti mengundi dengan bijak jangan buat secara sentimen hati.

“Jangan lepas 12 Ogos wakil rakyat ke mana, rakyat ke mana. Lepas tu hilang lagi lima tahun baru nak datang balik… jadi kalau hendak pilih wakil rakyat kena bertanggungjawab atas siapa yang kita pilih,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.