BN-PH Kelantan Bakal Isytihar Manifesto PRN Esok

KOTA BHARU, 4 Ogos – Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Kelantan bakal mengisytiharkan manifesto mereka sempena Pilihan Raya Negeri (PRN), esok.

Setiausaha BN Kelantan, Datuk Seri Dr Md Alwi Che Mad berkata, terdapat beberapa perkara menarik akan diumumkan dan beliau yakin ianya mampu memberi impak terhadap sokongan rakyat di Kelantan.

“Sukacita saya maklumkan bahawa manifesto BN-PH akan siap dan kita akan isytiharkan pada esok pagi. Pengisytiharan itu akan dibuat oleh Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Kelantan yang juga Pengerusi BN-PH Kelantan iaitu Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub.

“Ada beberapa perkara menarik yang saya yakin boleh memberi impak kepada para pengundi dan janji kita ini adalah sesuatu yang boleh ditunaikan,” katanya pada satu sidang media pagi tadi di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, di sini.

Menurutnya, salah satu manifesto BN-PH di negeri itu adalah untuk menubuhkan sebuah kolej universiti tahfiz Sains yang mampu untuk melahirkan huffaz dari bidang profesional.

“Satu perkara yang saya boleh sebutkan disini ialah kerajaan bersetuju untuk menubuhkan sebuah kolej universiti al-Quran tahfiz Sains. Maknanya, kolej ini akan melahirkan huffaz yang terlibat dalam bidang profesional.

“Manifesto ini jelas adalah untuk memperbetulkan banyak kesilapan dan janji-janji yang gagal ditunaikan oleh kerajaan negeri. Kita yakin perkara ini dapat dilaksanakan kerana kita bersama dengan Kerajaan Perpaduan yang berupaya untuk mengotakan janji.

“Saya masih melihat kepada data-data dan optimis untuk mempertahankan lapan kerusi sedia ada dan merampas lagi lapan kerusi. Manakala PH pula bertanding 14 kerusi, maka kita berharap mereka boleh ‘deliver’ sekurang-kurangnya tujuh kerusi,” katanya lagi.

Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan bermula dengan Hari Penamaan Calon pada 29 Julai lalu.

Hari Pengundian Awal akan berlangsung pada 8 Ogos ini manakala hari Pengundian pula pada 12 Ogos.

Seramai 31 calon BN dan 14 daripada PH bertanding di Kelantan untuk PRN kali ini. – UMNO Online

[the-post-grid id="151977" title="post"]
@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.