Nik Normi Hasrat Bina Sebuah Pusat Tahfiz Di DUN Chempaka

PENGKALAN CHEPA, 3 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, Nik Normi Nik Ayub berhasrat untuk membina sebuah pusat tahfiz di kawasan ditandingi sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Jelasnya, pelbagai gerak kerja juga telah dilakukan sepanjang tempoh berkempen ini bagi mendekati para pengundi di kawasan tersebut.

“Alhamdulilah setakat ini banyak pergerakan berkempen telah dilakukan seperti turun ke bawah, berjumpa dengan masyarakat setempat, buat majlis bacaan Yasin dan sebagainya bagi mendekati para pengundi.

“Selain itu, ada juga ziarah rumah ke rumah di samping bertemu dengan anak-anak muda bagi mendengar hasrat mereka. Insya-Allah kita akan bawa dan sampaikan kepada pucuk pimpinan parti,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, beliau turut ingin menjadikan Pantai Sabak sebagai salah satu pusat pelancongan yang unik untuk memanfaatkan keindahan negeri Kelantan.

“Insya-Allah saya akan bawa satu perubahan seperti yang dihasratkan oleh Kerajaan Perpaduan Madani, kita akan bina satu pusat tahfiz di DUN ini khas untuk anak-anak muda.

“Manakala untuk pelancongan, sebagai contohnya Pantai Sabak, kita perlu jadikan sebagai salah satu pusat pelancongan yang sangat hebat sebab Kelantan ini cantik. Sayang sekiranya tidak dimanfaatkan.

“Keadaan Kelantan yang kadang-kadang susah menerima perubahan yang menjadikan Kelantan sedikit terpinggir daripada pembangunan,” katanya lagi.

Kata Nik Normi lagi, perubahan perlu dilaksanakan di Kelantan agar negeri tersebut lebih maju ke hadapan.

“Sudah 33 tahun dan saya rasa Kelantan perlu berubah untuk kestabilan serta kemakmuran supaya lebih maju ke hadapan.

“Saya memohon semua jentera untuk bekerja bersama saya bagi memenangkan BN dan calon Kerajaan Perpaduan yang lain demi kestabilan serta kemakmuran.

“Insya-Allah kita akan bawa lebih baik untuk DUN Chempaka ini,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.