Muafakat Kunci Utama Keutuhan Kerajaan Perpaduan – Zahid

SEREMBAN, 2 Ogos – Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) ini ternyata membawa signifikannya yang tersendiri kepada keutuhan kerjasama antara parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Katanya ini membabitkan urusan pembahagiaan kerusi, terutama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng apabila Parti Amanah memberikan kerusi tersebut kepada UMNO/Barisan Nasional (BN).

“Demi semangat Kerajaan Perpaduan, muafakat antara kita. Ya, dahulu Negeri Sembilan kita menang 16 kerusi, manakala PH 20 kerusi. Datuk Seri Jalaluddin Alias memperjuangkan 18-18 sebab kita berhajat satu Parlimen sekurangnya satu DUN tapi di Seremban tiada.

“Tapi setelah saya berbincang dengan Datuk Seri Mohamad Sabu dan kami rujuk kepada Perdana Menteri, alhamdulillah bahawa DUN Lenggeng ini diberikan kepada UMNO/BN.

“Demi muafakat, saya tahu desakan daripada cawangan-cawangan, jawatankuasa empat peringkat dan saya bersama Jalaluddin Alias memperjuangkan Lenggeng ini diberikan kepada UMNO/BN. Insya-Allah kawan-kawan daripada Amanah, PKR dan Dap akan membantu,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada ceramah umum yang diadakan di Ampangan.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mazalan Maarop; calon DUN Lenggeng, Mohd Asna Amin dan kepimpinan MIC, MCA serta PH.

Beliau yang juga Pengerusi BN dalam pada itu sekali lagi berpesan kepada ahli parti untuk terus bersetia dan tidak melakukan sabotaj kepada parti terutama ketika mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN).

Jelas beliau, ini kerana masa membuktikan bahawa mereka yang melakukan sabotaj dan bertindak keluar daripada UMNO sentiasa tidak berpuas hati dengan perkara dicapai.

“Jangan pernah ada sabotaj dari dalam parti… saya tidak mengancam atau mengugut, tidak ada dalam kamus dalam hidup politik saya untuk takut kepada sesiapa kecuali Allah.

“Tengok berapa ramai mereka yang jadi hero, di mana heronya? Keluar daripada UMNO masuk ke parti hijau nak jadi ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri), Ahli Parlimen tapi tak dapat. Saya tidak mahu menyentuh peribadi sesiapa, hakikatnya kita hanya mahu ahli UMNO yang taat setia kepada parti.

“Kini Allah mentakdirkan Mohd Asna Amin jadi calon Lenggeng, jadi wajib hukumnya semua ahli UMNO di Seremban khususnya di DUN ini bantu ke arah kemenangan beliau,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.