Prestasi Dan Pencapaian Saiful Jadi Taruhan Kempen Di Johol

KUALA PILAH, 1 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johol, Saiful Yazan Sulaiman menjadikan perkhidmatan terbaik beliau sebagai taruhan dalam mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Katanya, ini kerana pelbagai agenda pembangunan telah dilakukan sepanjang lima tahun ini meskipun berdepan cabaran termasuk pertukaran kerajaan Pusat dan penularan pandemik COVID-19.

“Alhamdulillah sepanjang kempen ini kita bercakap berkenaan pencapaian saya semasa penggal yang lepas, ianya adalah bahan kempen utama kerana warga Johol maklum banyak perubahan dan pembangunan mereka rasai selama tempoh itu tidak berapa lama kerana pertukaran kerajaan.

“Ada pencapaian yang boleh kita jadikan kayu ukur prestasi saya semasa penggal yang lepas, itu yang kita gunakan di samping memberikan penerangan berkenaan kepentingan mempunyai kerajaan Pusat dan negeri yang sealiran,” katanya.

Sementara itu menyentuh berkenaan kerjasama bersama Pakatan Harapan (PH), beliau yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Kuala Pilah berkata ia membawa paradigma baharu kepada arena politik negara.

Kata Saiful Yazan lagi, malah pengundi di Johol ini juga terbuka dengan kerjasama tersebut kerana mereka juga sudah terbiasa mempunyai hubungan yang baik antara sama lain.

“Pada awalnya saya sendiri merasakan agak gusar dengan rakan strategik baharu ini tetapi apabila tengok hari pertama dan kedua selepas calon diumumkan saya nampak kerjasama yang erat terbentuk secara sendiri.

“Alhamdulillah penerimaan daripada rakyat baik kerana di Johol ini suatu kawasan yang unik, walaupun besar dari segi geografinya tetapi pertalian di antara kelompok masyarakat itu ada.

“Jadi mudah untuk mereka rapat dan menerima ikatan perpaduan yang mana kita tahu dalam pilihan raya ini ada rakan strategik di antara BN dan PH,” ujar beliau

Untuk rekod, DUN Johol menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara calon BN, Saiful Yazan dengan Kamarudin Md Tahir yang mewakili Perikatan Nasional (PN). – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit