Lebih 39,000 Anggota, Pegawai Dan Pasangan TDM Laksana Undi Awal Pada 8 Ogos

MELAKA, 30 Julai – Lebih 39,000 anggota dan pegawai Tentera Darat Malaysia (TDM) dan pasangan, terbabit dalam pengundian awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 8 Ogos depan.

Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata daripada jumlah itu, lebih 29,000 orang terdiri daripada anggota dan pegawai tentera, manakala lebih 9,000 orang terdiri daripada pasangan mereka.

“Nasihat saya, pilihlah calon yang dilihat dapat mentadbir negeri dengan baik…masing-masing ada pilihan sendiri, tepuk dada tanya selera.

“Kita tidak paksa anggota atau pegawai TDM untuk mengundi calon tertentu,” katanya kepada pemberita selepas Ujian Kemahiran Menembak Tentera Darat (UKM TD) Tahun 2023 di Lapang Sasar Kem Terendak di sini hari ini.

Raja Muda Selangor Kapten Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan menyertai UKM TD 2023, selain turut disertai Timbalan Panglima Tentera Darat Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Dalam pada itu, Mohammad berkata TDM sentiasa bersiap siaga untuk melaksanakan Op Neraca di enam negeri terbabit, bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman rakyat sepanjang PRN berkenaan berlangsung di Terengganu, Kelantan, Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor.

Beliau berkata pihaknya juga telah bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), bagi mengenal pasti lokasi panas di enam negeri berkenaan yang berkemungkinan berlaku provokasi atau situasi yang boleh menggugat ketenteram awam, dan pemantauan lebih ketat akan dilakukan di lokasi terlibat.

Terdahulu, mengulas berkenaan UKM TD 2023, Mohammad berkata 715 pegawai dan anggota daripada formasi pemerintahan dan divisyen, menyertai pertandingan UKM TD 2023 yang berlangsung bermula 21 Julai hingga hari ini.

Beliau berkata UKM TD merupakan acara pertandingan menembak dwitahunan, yang bertujuan menilai kemampuan dan tahap kemahiran anggota TDM dalam aspek pengendalian senjata secara individu dan berkumpulan.

“Pertandingan ini juga merupakan medan terbaik untuk TDM melahirkan jaguh menembak, yang bakal membawa cabaran ke peringkat yang lebih tinggi seperti mewakili TDM dalam pertandingan ASEAN Armies Rifle Meet (AARM).

“Secara tidak langsung, ujian ini telah mempamerkan kredibiliti TDM yang sentiasa bersiap sedia dan komited dalam menggalas tugas utama, iaitu bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara,” katanya.

UKM TD 2023 terbahagi kepada dua kategori iaitu acara wajib antaranya Raifal Lelaki, Pistol Lelaki, Senjata Bantuan, Lorong Hutan dan Serangan Seksyen, manakala bagi kategori sampingan pula ialah acara Raifal dan Pistol Wanita, Pegawai Kanan dan Pegawai Muda, Sniper serta Jatuh Piring. – BERNAMA


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit