Dr Asyraf Ajak Jentera Tolak Budaya Politik Maki Hamun, Fitnah, Perlekeh… Fokus Promosi Calon

GOMBAK, 30 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengajak anggota jentera Barisan Nasional (BN) – Pakatan Harapan (PH) untuk menolak budaya politik maki hamun, fitnah, meremeh dan memperlekehkan mana-mana pihak sepanjang berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bermula semalam.

Katanya, fokus utama adalah kepada mempromosikan calon dan juga dasar-dasar yang bakal diketengahkan apabila mencapai kemenangan kelak.

“Saya harap semua jentera-jentera BN/PH fokus, sudah tentu sebagai orang yang dilantik untuk mengetuai operasi jentera BN, saya telahpun memberikan saranan kepada jentera-jentera supaya mereka kekal berkempen secara sihat dan berhemah.

“Kita fokus kepada promosi calon kita dengan promosi dasar yang kita nak laksanakan demi rakyat, ekonomi, soal apakah tawaran-tawaran kepada rakyat iaitu dalam konteks negeri dan juga Persekutuan.

“Jangan terheret sama dengan budaya politik maki hamun, fitnah, meremehkan, perlekehkan antara satu sama lain sebagaimana yang kita tengok kempen-kempen yang dilakukan oleh parti lawan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada UMNO Online selepas menyampaikan ucapan kepada anggota jentera perpaduan BN/PH di PDM Gombak Utara, Sungai Chinchin, hari ini.

Tegas Dr Asyraf, walaupun sudah tentu provokasi-provokasi berlaku yang akan mudah untuk mendorong melakukan tindakan yang sama dan serupa tetapi ia wajar dielakkan.

“Bagi saya biar kita kekal berakhlak dan berhemah kerana akhirnya rakyat sudah tentu akan memberikan sokongan dan dukungan kerana mereka adalah pengundi yang amat bijaksana iaitu meletakkan soal akhlak, soal nilai, soal adab dalam nak memilih pemimpin demi untuk menubuhkan kerajaan yang akan dapat memberikan manfaat kepada rakyat dan negara,” katanya lagi.

Calon BN di DUN Gombak Setia ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang tampil bagi menawan kawasan terbabit. Beliau menghadapi saingan tiga penjuru berdepan penyandang Muhammad Hilman Idham (PN-Bersatu) dan calon Bebas Mohamed Salim Mohamed Ali.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah serta PRK bagi Parlimen Kuala Terengganu dilaksanakan serentak dengan hari pengundian pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

PRK bagi Parlimen Kuala Terengganu diadakan setelah kerusi itu diisytihar kosong berikutan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 27 Jun lepas membatalkan kemenangan Datuk Ahmad Amzad Hashim daripada PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.