Bawa Imej Perpaduan, Noor Hariri Seru Rakyat Beri Mandat Baharu Untuk Kelantan

PASIR MAS, 30 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tendong, Noor Hariri Mohamed Noor menyeru rakyat untuk memberikan mandat kepada kerajaan baharu bagi memerintah Negeri Kelantan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Jelasnya, beliau turut berpesan kepada calon-calon di DUN Meranti untuk menjalankan kempen secara berhemah dan positif bagi menarik hati rakyat terutamanya di Parlimen Pasir Mas.

“Kita akan berkempen secara rasmi dalam tempoh masa lebih kurang dua minggu akan datang. Proses berkempen sebelum ini semuanya berjalan dengan lancar dan Insya-Allah kita akan meneruskannya secara berhemah.

“Saya telah berpesan kepada rakan-rakan di Meranti dan Pengkalan Pasir, kita berkempen dengan membawa imej perpaduan. Imej ini penting untuk kita menyatupadukan seluruh kaum di Tendong, Pengkalan Pasir dan juga Meranti khususnya,” katanya kepada UMNO Online.

Tegasnya, para pengundi di Kelantan perlulah membuat anjakan paradigma dan melakukan perubahan kepada kerajaan negeri sedia ada yang dilihat gagal mengurus tadbir negeri dengan baik.

“Rakyat Kelantan perlu berubah daripada yang tidak baik kepada lebih baik. Kita ambil sempena bulan yang mulia, bulan Maal Hijrah pada kali ini. Inilah masa untuk kita berubah daripada air yang kotor kepada air yang bersih. Daripada air yang berlumpur kepada air yang jernih.

“Ini sebenarnya motif perubahan kita. Bukannya perubahan daripada yang baik kepada tidak baik. Motif utama kita ialah untuk membawa motif perubahan kepada rakyat Kelantan sendiri.

“Pentadbiran Pas di Kelantan selama 33 tahun ini gagal dan ianya tidak boleh dinafikan. Kita akan memberikan satu peluang kepada rakyat di Tendong khususnya termasuk di Pengkalan Pasir dan Meranti bahawa kami ini agen kepada perubahan ke arah kebaikan,” katanya lagi.

Menurut Noor Hariri, rakyat sudah semakin matang dan bijak memilih disamping percaya bahawa imej perpaduan yang dibawa mampu menambat hati pengundi.

“Rakyat tentunya bijak memilih. Insya-Allah dengan imej perpaduan yang kita bawa dan garapkan akan berjaya menambat hati para pengundi seluruhnya.

“Pesanan saya kepada para pengundi, mengundilah dengan sebaiknya. Pilihlah satu mandat kepada kerajaan negeri yang baharu supaya kita rakyat di negeri Kelantan ini boleh merasai kenikmatan dalam penuh kebajikan ini.

“Tentunya BN dan Pakatan Harapan (PH) akan menawarkan kebajikan terbaik demi kelangsungan hidup rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.