PRN Bukan Tempat Untuk Tentukan Siapa Lebih Islam, Sebaliknya Medan Pilih Pemimpin – Dr Asyraf

KUALA TERENGGANU, 28 Julai – Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung di enam negeri pada bulan depan bukanlah pilihan raya untuk memilih agama sebaliknya untuk menentukan pemimpin yang mewakili rakyat.

Perkara tersebut ditegaskan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang melihat parti tidak boleh sama dengan Islam kerana Islam adalah lebih tinggi daripada segala-galanya.

“Kita hari ini berdepan pilihan raya. Pilihan raya bukannya untuk memilih agama… pilihan raya bukannya untuk tentukan siapa yang lebih Islam… Paskah… UMNOkah…Amanahkah… dan sebagianya. Kita mahu memilih pemimpin untuk menjaga rakyat. Soal akidah… Islam itu tinggi dan tidak ada apa yang lebih tinggi daripada Islam.

“Parti tidak boleh sama dengan Islam. Parti adalah wahana, wadah politik untuk menang pilihan raya. Agama Islam… nak masuk Islam perlu mengucap dua kalimah syahadah. Mahu sertai parti perlu isi borang… masuk parti belum tentu masuk syurga atau neraka kerana itu antara kita dengan Allah swt,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Jelajah Madani dan pelancaran Jentera Perpaduan Negeri Terengganu, di sini, hari ini. Majlis berkenaan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir Presiden Parti Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu; Setiausaha Agung BN, Datuk  Seri  Dr Zambry Abdul Kadir, pimpinan BN negeri serta rakan-rakan parti yang lain.

Dr Asyraf seterusnya mengingatkan rakyat Terengganu khususnya untuk tidak ragu-ragu dalam membuat pilihan dengan memilih BN dan PH pada hari pengundian kelak.

“Jadi jangan runsing pilih BN/PH, kita pilih pemimpin untuk jaga kita hidup di dunia insya-Allah hebat di dunia sejahtera di akhirat. Adik kakak penting soal ini kerana puak-puak sana apabila datang musim pilihan raya seumpama ada jualan murah. Jualan ‘syurga Neraka’. Seolah-olah tukang jaga pintu syurga ini hak dia… jangan kita terpedaya.

“Yang lebih penting apa yang berlaku hari ini bukan kehendak kita. Tuhan mentakdirkan suasana yang begitu hebat sekali yang tidak pernah tergambar di dalam pemikiran kita.  Apa dia… Pernahkah kita terfikir dan tergambar dalam pemikiran kita terutama yang pakai baju biru akan duduk bersebelahan dengan yang pakai baju merah. Ada abang  Mat Sabu dan sebagainya.

“Tidak kenal maka tidak cinta. Apabila dah kenal hati bertambah mesra dan selepas ini saya percaya Abang Mat akan pastikan orang Amanah akan pengaruh juga orang PKR dan Dap… apabila kita berkawan kita akan berkawan sehingga akhir,” tambahnya.

Tambah beliau lagi dakwaan dan tohmahan kononnya UMNO dan BN menolak perpaduan adalah satu dakwaaan yang tersasar.

“Ini adalah titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong. Puak-puak sana tolak. BN setuju. PH setuju, GPS Sarawak setuju. GRS Sabah pun setuju, Warisan Sabah setuju. Yang tinggal keseorangan adalah PN.

“Kenapa… ego… betul… sombong…, angkuh… akhirnya mereka pula yang mendakwa kita menolak perpaduan… munasabahkah? Kita telah melalui fasa empat tahun rakyat menderita dengan kerajaan terumbang ambing, perdana menteri silih berganti.

“Pelabur lari kerana politik tidak stabil tetapi tuhan takdirkan selepas PRU tidak ada sesiapa boleh tubuh kerajaan akhirnya titah Tuanku supaya kita bersatu demi demi rakyat, demi kestabilan.”

Jelasnya, beliau percaya rakyat akan beri undi untuk pastikan Terengganu sama dengan kerajaan pusat.

“Saya percaya gelombang biru dan PH akan membentuk kerajaan perpaduan negeri Terengganu seiring dan selairan dengan kerajaan pusat,” ujarnya. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit