PN Penipu Besar, PRN Tiada Kaitan Dengan Perubahan Kerajaan Pusat – SUA

PORT DICKSON, 28 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menempelak Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa akan ada perubahan kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Katanya, dakwaan tersebut hanya bersifat omongan kosong kerana mereka sendiri tidak mempunyai bilang kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

“Kelmarin Tan Sri Muhyiddin Yassin sebut kalau PRN ini mereka menang Putrajaya akan mereka ubah, ini penipu besar sebab PRN tiada kaitan dengan perubahan kerajaan Persekutuan.

“Saat ini kerajaan Persekutuan ada 147 Ahli Parlimen yang membentuk Kerajaan Perpaduan, PN ada 74 Ahli Parlimen untuk tubuhkan kerajaan mereka perlukan sekurangnya 40 Ahli Parlimen, mana nak dapat?” soal beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Negeri Sembilan di Padang Pejabat Daerah Dan Tanah Port Dickson, malam tadi.

Turut hadir adalah Pengerusi Barisan Nasional yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi Pakatan Harapan yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan kepimpinan lain.

Mengulas lanjut beliau berkata ini kerana Akta Lompat Lompat Parti telah dikuatkuasakan yang menyaksikan pengosongan kerusi sekiranya ada dalam kalangan Ahli Parlimen bertindak melompat parti.

“Lagipun kita dah ada Akta Anti Lompat yang tidak membenarkan sesiapa sahaja lompat, kalau pindah kena kosongkan kerusi.

“Kalau ada dalam BN yang lompat mereka kena bayar RM100 juta, sudah ada kes mahkamah tinggi iaitu Zuraidah yang perlu membayar RM10 juta.

“Jika mereka (PN) masih memainkan sentimen tukar kerajaan Persekutuan dengan cara ubah kerajaan negeri maknanya mereka penipu jadi jangan percaya,” tegas beliau. – UMNO Online

Terdahulu, Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti dikuatkuasa pada Oktober tahun lalu.

Ianya mencatat sejarah Dewan Rakyat apabila RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti, diluluskan dengan sokongan majoriti lebih dua per tiga. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.