Landskap Politik Selangor Berbeza, Gambaran Perpaduan Rakyat – Rizam

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Rizam Ismail berpandangan Selangor merupakan gambaran perpaduan dalam kalangan rakyat kerana dihuni oleh pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Katanya ini kerana, negeri ini menjadi tumpuan individu dari luar untuk bekerja, membina kehidupan termasuk mendirikan rumahtangga dengan rakyat setempat.

“Saya kira landskap politik Selangor ini berbeza kerana ianya meliputi berbilang kaum boleh dikatakan hampir kesemua negeri ada di sini, ada orang lahir di Kelantan tapi bekerja dan mengundi di sini.

“Begitu juga kaum-kaum lain Melayu, Cina, India, Bidayuh, Kadazan… semua ada di sini dengan bekerja, mastautin dan berkahwin dengan orang Selangor.

“Atas itu bagi saya perlu ada kepelbagaian dari segi meraikan kaum yang berbeza-beza di negeri walaupun teras kita UMNO ini demi agama, bangsa dan negara. Namun pada masa sama tidak mengetepikan hak-hak kaum lain. Itu saya kira kekuatan Kerajaan Perpaduan yang ada di negeri Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan sentimen membabitkan bangsa, agama dan institusi raja (3R) yang menjadi senjata parti lawan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan hadapan.

Dalam pada itu beliau yang merupakan penyandang bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar yang dicalonkan semula meluahkan kepercayaan terhadap sokongan rakyat kepada dirinya.

Jelas beliau, ini kerana pelbagai khidmat bakti telah dilakukan kepada rakyat khususnya ketika negara berdepan dengan penularan wabak COVID-19.

“Hampir keseluruhan DUN-DUN di Selangor ini adalah di kawasan bandar tetapi berbeza dengan Sungai Air Tawar kerana hampir semuanya masih suasana kampung sebab itu politik khidmat bakti amat diperlukan di kawasan ini.

“Insya-Allah saya akan menyambung segala yang telah dilakukan sebelum ini dan sekiranya diberi kepercayaan menyandang jawatan ini sekali lagi dan menjadi ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) kerajaan sudah pasti pembangunan akan saya teruskan.

“Sebelum ini saya telah cuba memenuhi segala tuntutan masyarakat khususnya sewaktu pandemik COVID-19 dan juga sudah berusaha sedaya upaya sepanjang saya menjadi ADUN pembangkang,” ujar beliau. – UMNO Online

Jom ikuti media sosial calon Barisan Nasional bagi DUN Sungai Air Tawar ini:
Facebook: Rizam Ismail
Instagram: rizamismail
TikTok: Rizam Ismail

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.