Pertahan DUN Permatang Berangan, Nor Hafizah Yakin Rakyat Bijak Nilai Rekod Khidmatnya

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Penyandang bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Berangan Nor Hafizah Othman menzahirkan kesyukuran kerana telah dipilih sekali lagi oleh pucuk pimpinan parti sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Katanya, kepercayaan yang diberikan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan diterjemahkan dengan kemenangan di pihak parti dan seterusnya meneruskan khidmat baktinya.

 

“Saya merasakan kesyukuran pada Allah SWT dan berterima kasih pada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta pucuk kepimpinan BN kerana terpilih sekali lagi menjadi calon DUN Permatang Berangan.

“Mandat dan kepercayaan yang telah diberikan akan diterjemahkan serta dapat disumbangkan kepada parti dan rakyat.

“Insya-Allah… ianya sebagai satu amanah dan tanggungjawab untuk menjadikan satu usaha yang jitu bagi memenangkan kerusi DUN Permatang Berangan bagi parti BN,” katanya kepada UMNO Online ketika ditemui baru-baru ini, di sini.

Nor Hafizah yang juga Ketua Wanita UMNO Negeri Pulau Pinang yakin rakyat di Permatang Berangan mampu menilai keupayaannya sepanjang berkhidmat pada penggal lalu.

“Saya yakin masyarakat di Permatang Berangan mampu menilai dan beri kepercayaan kepada BN kerana saya adalah anak tempatan dan telah berkhidmat sepenggal di DUN ini. Masyarakat di sini dekat dengan saya serta mengharapkan dapat memberikan undi, kepercayaan dan mandat sekali lagi untuk terus berkhidmat bersama masyarakat DUN Permatang Berangan.

“Paling utama adalah keutamaan keperluan masyarakat setempat akan diusahakan sebaik-baiknya khususnya pembangunan ekonomi serta penambahbaikan bagi wanita, keluarga dan masyarakat serta selebihnya keperluan insfra serta kebajikan untuk rakyat,” jelas beliau.

Seterusnya Nor Hafizah memohon jasa baik pengundi agar terus memberikan kepercayaan kepadanya sekali lagi untuk terus berkhidmat dan menabur bakti sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan itu.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini memohon jasa baik masyarakat Permatang Berangan untuk memberikan mandat sekali lagi kepada saya sebagai ADUN Permatang Berangan dan dapat bekerjasama serta membantu kebajikan dan membangunkan pembangunan serta ekonomi rakyat di kawasan setempat,” ujar Ketua Wanita UMNO Bahagian Tasek Gelugor itu lagi.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menetapkan 12 Ogos sebagai hari mengundi bagi PRN di enam negeri.

Sementara itu hari penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai ini manakala hari mengundi awal pada 8 Ogos.

Selain Pulau Pinang, negeri yang terlibat adalah Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu. – UMNO Online

Jom ikuti media sosial calon Barisan Nasional di DUN Permatang Berangan ini:

Facebook: Nor Hafizah FC

TikTok: NHO_PB

 


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit