Kak Su Berjiwa Besar Beri Laluan Bertanding DUN Sungai Tiang – Fadzil Zolkipli

 

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pendang, Mohamad Fadzil Zolkipli menzahirkan kesyukuran kerana telah dicalonkan bagi mewakili Barisan Nasional (BN) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tiang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terdahulu iaitu Datuk Suraya Yaacob atau mesra dikenali sebagai Kak Su yang berjiwa besar memberikannya laluan bertanding di DUN itu.

“Saya bersyukur kerana dipilih dan amat berterima kasih kepada Datuk Suraya Yaacob atau lebih dikenali sebagai Kak Su selaku mantan ADUN Sungai Tiang. Beliau cukup disegani dan berjiwa besar serta menyerahkan tanggungjawab yang besar ini pada saya untuk memikul dan memenangi serta mempertahankan DUN Sungai Tiang pada PRN ini bagi UMNO/Barisan Nasional (BN).

“Saya akan meneruskan perkara-perkara yang dirancang oleh Kak Su sebelum ini dan sudah pasti akan merancang beberapa aspek penting terutamanya pembangunan, pendidikan, sosio dan masyarakat di DUN Sungai Tiang ini.

“Saya memohon agar semua pengundi-pengundi di DUN Sungai Tiang dapat memberikan mandat dan juga sokongan serta berilah peluang pada saya untuk berkhidmat. Insya-Allah, saya akan melakukan khidmat bakti yang terbaik bagi rakyat Sungai Tiang sepanjang berkhidmat,” katanya kepada UMNO Online, di sini baru-baru ini.

Sementara itu Suraya yang juga Ketua UMNO Bahagian Pendang berkata beliau menyokong sepenuhnya Fadzil sebagai calon serta harap dapat meneruskan legasinya.

“Saya Suraya Yaacob bekas ADUN Sungai Tiang dan pada PRN ini memberikan laluan pada calon muka baharu iaitu Fadzil dan pasti akan menyokongnya sehingga menang.

“Saya berharap Fadzil akan menang dalam DUN Sungai Tiang dan meneruskan perancangan yang masih belum dapat disempurnakan semasa saya menjawat ADUN Sungai Tiang terdahulu,” jelas beliau.

Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh telah menetapkan 12 Ogos sebagai hari pengundian bagi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Manakala tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 29 Julai manakala bagi pengundian awal, tarikh ditetapkan ialah pada 8 Ogos. – UMNO Online

Jom ikuti media sosial calon Barisan Nasional bagi DUN Sungai Tiang ini:

Facebook: Mohd Fadzil

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.