PRN: Lima Tekad Kerajaan Perpaduan Demi Kesejahteraan Rakyat

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata gabungan parti Kerajaan Perpaduan memasuki pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri dengan lima tekad.

Kata Timbalan Perdana Menteri itu, tampil dengan slogan ‘Perpaduan Demi Kestabilan dan Kemakmuran’, Kerajaan Perpaduan komited mengutamakan kesejahteraan rakyat.

“Untuk itu di dalam memasuki pilihan raya pada kali ini pertamanya kita berazam mahu mewujudkan pentadbiran di peringkat semua negeri dengan mengutamakan kestabilan bukannya yang suka membawa kepada perpecahan.

“Keduanya, kita mahu membentuk kerajaan negeri yang dapat menjamin kesejahteraan bukannya membiarkan rakyat untuk hidup dalam kesempitan dan kesusahan.

“Ketiganya, kita mahu membina kerajaan negeri yang berupaya untuk memupuk kerukunan dan memiliki nilai hormat sesama insan dan mengetepikan perbedaan antara kaum dan agama dan mahu melempiaskan keceluparan dan juga caci makian yang dibuat oleh sesetengah pemimpin di negeri-negeri tertentu,” kata Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pengumuman Calon BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini malam tadi.

Hadir sama Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan, barisan kepimpinan parti-parti komponen, parti Friends of BN dan calon-calon BN.

Sesi pengumuman calon disempurnakan oleh Setiausaha Agung UMNO yang juga Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Seterusnya jelas Ahmad Zahid lagi, azam keempat adalah mahu membentuk kerajaan negeri yang berupaya untuk menjamin pertumbuhan bukannya menjadikan tuhan sebagai alasan atas kemunduran yang dialami oleh negeri berkenaan.

“Kelima, kita mahu mewujudkan kerajaan negeri yang mempunyai keserasian, kesalingan serta persamaan dengan kerajaan persekutuan di Putrajaya.

“Itulah tekad kita malah realiti dalam laman politik baharu yang sedang berada di hadapan kita tidak harus dicemari dengan alasan slogan agama dan perkauman yang sempit.

“Yang mahu kita wujudkan ialah kestabilan sebagai satu jawapan untuk negara kita ini supaya menjadi sebuah negara yang lebih baik dan cemerlang dalam waktu terdekat dan hadapan,” tambahnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan pada 12 Ogos, penamaan calon pada 29 Julai manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

PRN 2023 ini melibatkan 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah; Kelantan (45); Terengganu (32); Pulau Pinang (40); Selangor (56); dan Negeri Sembilan (36).

BN akan bertanding di 108 kerusi DUN dengan menampikan 63 peratus calon muka baharu manakala 18 peratus penyandang dan selebihnya ialah mereka yang pernah bertanding sebelum ini.

Begitu juga BN mengemukakan 87 peratus daripada calon-calonnya yang memiliki kelayakan akademik di peringkat pengajian tinggi termasuk yang berkelulusan ikhtisas atau profesional. – UMNO ONLINE


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit