BN Kekal Utuh Bawa Perjuangan Rakyat Depani Landskap Politik Berbeza – Dr Asyraf
KUALA LUMPUR, 22 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata Barisan Nasional (BN) kekal utuh dalam meneruskan perjuangan rakyat.
Katanya pendirian tersebut terus menjadi asas kepada kepimpinan parti meskipun berdepan landskap politik berbeza.
“BN sejak daripada kemerdekaan lagi pada waktu itu atas nama perikatan kita sentiasa bersifat dinamik dan segar mendepani suasana zaman meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan paling tinggi.
“Sebab itulah apabila berlaku sebarang dinamika politik yang memerlukan perubahan dalam pendirian percaturan dan juga perencanaan kita sentiasa memilih rakyat dan negara sebagai asas pertimbangan kita.
“Dan hari ini kita bersama-sama dalam sebuah Kerajaan Perpaduan yang di dalamnya bukan hanya UMNO, MCA, MIC mahupun PBRS tetapi kita bersama-sama dengan 19 parti politik yang bergabung atas nama Kerajaan Perpaduan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian Majlis Pengumuman Calon BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini malam tadi.
Dihadiri Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Hadir, Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan, barisan kepimpinan parti-parti komponen, parti Friends of BN dan calon-calon BN.
Beliau dalam pada itu berkata meskipun BN memperolehi 30 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu namun ianya membawa hikmah tersendiri apabila berpeluang bersama gabungan lain dalam membentuk kerajaan.
“Kita ditinggalkan dengan hanya 30 kerusi tetapi Tuhan masih lagi menyayangi kita dengan angka itu akhirnya kita akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan negara ini terus stabil kembali kepada kestabilan dan kemakmuran dengan hanya satu formuka yakni formula mewujudkan Kerajaan Perpaduan,” ujar beliau.
Mengulas lanjut berkenaan Pilihan Raya Negeri (PRN) ini beliau berkata kerjasama yang diwujudkan itu membawa paradigma baharu apabila panji-panji BN memasuki
pilihan raya ini atas dasar semangat perpaduan.
“Atas semangat untuk mewujudkan suatu kesatuan dan perpaduan demi untuk menggalas amanah nusa dan bangsa.
“Demi suatu kestabilan dan kemakmuran maka hari ini BN sekali lagi akan menampilkan di dalam pilihan raya di peringkat negeri
“Enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan bezanya kali ini kita tampil bukan sekadar membawa panji-panji BN tetapi kita masuk gelanggang bersama dengan rakan-rakan yang membentuk Kerajaan Perpaduan,” katanya. – UMNO Online